KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pengacara, Kelly Azman, 47, terkilan dengan tindakan pelakon Erry Putra, 46, yang didakwa tergamak menciplak lagu nyanyian dan ciptaannya yang berjudul No No No.
Kelly atau nama sebenarnya, Raja Azman Raja Ayob berkata, dia terkejut apabila lagu pop yang dilancarkan pada Jun 2018 itu kedengaran serupa dengan single terbaharu Erry, Oh No Sayang.
“Melodi lagu nyanyian Erry boleh dikatakan sangat serupa dengan lagu No No No yang saya pernah rakamkan sebelum ini.
“Anda boleh nilai sendiri. Saya lancarkan lagu itu terlebih dulu dan lagu berkenaan juga saya yang cipta dan menyanyikannya.
“Tapi, Erry pula muncul dengan lagu sama dan hanya menukar tajuk kepada Oh No Sayang,” katanya ketika ditemui di Hotel Royal baru-baru ini.
Kata Kelly lagi, bagi mendapatkan penjelasan, dia ada menghubungi Erry namun hampa kerana pelakon terbabit enggan menjawab panggilannya.
“Saya kecewa kerana saya kenal Erry. Dia rakan industri, sudah pasti kami saling mengenali dan tiada masalah sebelum ini. Saya cuba hubunginya, tapi dia senyap sahaja.
“Saya sangat kecewa dan sedih apabila dia dengan yakin mendakwa lagu itu adalah single terbaharunya, sedangkan ia tak patut berlaku. Tergamak dia buat begitu pada saya.
“Saya sudah lama rakamkan lagu No No No dan menerbitkannya lima tahun lalu, sejak bila pula ia menjadi single baharu Erry? Harap dia jelaskan dan selesaikan perkara ini secepat mungkin,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Kelly bersyukur apabila terus diberi kepercayaan untuk menghiburkan tetamu di hotel itu sempena Ramadan nanti, bagi tahun yang ke-13.
“Saya sendiri tak sangka dah masuk 13 tahun saya menyanyi di Hotel Royal Kuala Lumpur sepanjang Ramadan untuk menghiburkan pelanggan yang berbuka puasa. Saya anggap ia rezeki.
“Tahun ini, saya sekali lagi bergandingan dengan Ani Maiyuni untuk menyanyi di sini,” katanya.