PETALING JAYA: Industri pelancongan negara dijangka menyusut sekitar lima hingga 10 peratus ekoran konflik peperangan Iran yang menyaksikan beberapa negara mengehadkan penggunaan ruang udara dan menjejaskan pergerakan pengunjung.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Datuk Seri Dr. Mohd. Khalid Harun berkata, keadaan itu menjejaskan ekonomi negara antara RM1 bilion hingga RM3 bilion sekiranya krisis di rantau itu berlarutan.
Katanya, konflik perang Iran hampir dua minggu menyebabkan beberapa laluan penerbangan antarabangsa terpaksa diubah selain berlaku peningkatan kos operasi syarikat penerbangan, dan memberi kesan harga tiket.
“Sekiranya konflik tersebut berpanjangan, peningkatan harga minyak global serta kos penerbangan boleh memberi tekanan kepada aliran kemasukan pelancong antarabangsa ke Malaysia, mungkin ketibaan menyusut antara lima hingga 10 peratus.
“Keadaan ini menjejaskan pulangan ekonomi negara antara RM1 bilion hingga RM3 bilion.
“Sektor pelancongan sememangnya sangat sensitif terhadap ketegangan geopolitik kerana faktor keselamatan, kos perjalanan serta keyakinan pelancong memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan untuk melakukan perjalanan jarak jauh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, serangan dron dan peluru berpandu yang dilancarkan Iran ke beberapa negara di Asia Barat menyebabkan gangguan besar kepada penerbangan antarabangsa dan memaksa syarikat membatalkan ribuan perjalanan udara.
Gangguan itu menjejaskan beberapa hab penerbangan utama dunia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar, sekali gus menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, kenaikan harga tiket penerbangan juga mempengaruhi kehadiran pelancong apabila mereka terpaksa mengeluarkan kos tambahan kira-kira RM300 hingga RM800.
“Perjalanan domestik turut merasai bahang tempias konflik itu dengan kos yang dikesan meningkat sekitar RM50 hingga RM150 bergantung kepada jarak destinasi penerbangan.
“Situasi tersebut memberi tekanan kepada kos perjalanan, namun industri tidak melihat ia akan melumpuhkan sektor pelancongan seperti yang berlaku ketika pandemik Covid-19.
“Namun permintaan untuk perjalanan masih wujud walaupun pengguna kini lebih berhati-hati dalam berbelanja,” katanya.
Katanya, harga bahan api jet dilaporkan meningkat melebihi AS$100 setong dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini susulan ketegangan geopolitik di rantau tersebut, sekali gus memberi tekanan kepada kos operasi syarikat penerbangan
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid berkata, perkembangan luar jangka itu dilihat bakal mendorong lebih ramai rakyat Malaysia untuk memilih percutian dalam negara.
“Peralihan trend ini secara tidak langsung membuka ruang yang luas kepada pemain industri untuk memperkukuhkan destinasi tempatan, khususnya sebagai persiapan strategik menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
“Ketika berdepan ketidaktentuan global, penting untuk kerajaan dan pemain industri bekerjasama memperkukuhkan promosi pelancongan domestik serta menyediakan sokongan kepada agensi pelancongan agar industri terus kekal berdaya tahan,” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati, harga tiket penerbangan kelas ekonomi Malaysia Airlines bagi laluan Kuala Lumpur ke London mencecah RM7,000 berbanding sebelum ini sekitar RM3,500.
Selain itu, tiket penerbangan pergi balik tambang murah AirAsia bagi laluan Kuala Lumpur ke Tokyo sebelum ini sekitar RM2,000, namun kini mencecah RM3,000.
Dalam pada itu, tambang AirAsia ke Istanbul mencecah RM4,000 daripada sebelum ini sekitar RM3,500.
Kenaikan harga tiket disebabkan oleh syarikat penerbangan mengubah laluan perjalanan kepada jarak yang lebih jauh selain berdepan peningkatan kos bahan api dan menyebabkan harga tiket melonjak di beberapa laluan antarabangsa.
Harga bahan api pesawat yang sebelum ini berada pada paras AS$85 hingga AS$90 (RM333.65 hingga RM353.29) setong melonjak drastik kepada antara AS$150 hingga AS$200 (RM588.82 hingga RM785.09) setong sejak beberapa hari lalu.-UTUSAN










