BARCELONA: Pelakon drama bersiri terkenal Money Heist, Alba Flores, menyatakan sokongan terhadap Palestin dan meminta gencatan senjata dilakukan serta merta bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai di negara tersebut.
Alba yang dikenali menerusi watak Nairobi hadir di majlis anugerah berprestij Sepanyol, Anugerah Goya, sambil memakai busana hitam dengan lencana butang dengan tulisan ‘hentikan perdagangan senjata. Gencatan senjata sekarang’.
Semasa ditemu ramah media tempatan, Alba menyifatkan apa yang dilalui oleh penduduk Gaza sebagai ‘zaman gelap’ dengan kematian lebih daripada 30,000 orang sejak perang tercetus.
“Dengan apa yang sedang terjadi, sangat sukar untuk kita meraikan apa-apa perkara.
“Harapnya, ada sesuatu yang boleh dilakukan oleh kerajaan negara Sepanyol untuk mengatasi situasi tersebut,” katanya.
Bukan itu sahaja, semasa menyampaikan anugerah untuk kategori Runut Bunyi Terbaik, Alba sempat menegaskan sokongan kepada Palestin di dalam dewan yang turut dihadiri presiden Sepanyol, Pedro Sánchez.
“Selamat malam dan semoga ada keamanan untuk Palestin,” katanya.
Semalam, ketika dunia sedang meraikan kehangatan acara penting Amerika Syarikat, SuperBowl, Israel telah melancarkan serangan udara dan bedilan artileri di Rafah.
Pengarah Hospital Abu Yousef Al-Najjar berkata, kemudahan perubatan di Rafah tidak dapat menangani sebegitu ramai mangsa yang cedera akibat serangan bertalu-talu Israel.
Tentera Israel turut mengesahkan pihaknya melancarkan serangan udara tersebut yang menyasarkan kawasan Shaboura di Rafah.










