Minta sahaja, ibu mentua pasti masakkan - Elisya Sandha - Utusan Malaysia

Minta sahaja, ibu mentua pasti masakkan – Elisya Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI KALA banyak cerita tidak manis berlegar di media sosial berkenaan hubungan dingin antara ibu mentua dan menantu, lain pula ceritanya bagi pelakon Elisya Sandha yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh mentuanya, Sheila Rusly.

Dedah Elisya, secara realitinya, cita-cita seorang wanita akan menjadi terbatas selepas bergelar seorang ibu.

Mana tidaknya, kudrat tulang empat kerat perlu dibahagikan mengasuh anak, menjaga rumah dan mengurus makan pakai suami.

Tidak hairanlah jika ada wanita yang terpaksa melupakan cita-citanya sendiri untuk memberi fokus kepada kebajikan keluarga.

Jaga anak, tidak halang kerjaya

Elisya bagaimanapun bersyukur kerana ibu mentuanya sendiri menawarkan diri untuk menjaga anaknya, Bunga Elhaq.

Selain itu, dia tuurt memastikan Elisya dapat mengembangkan bakat dalam industri lakon layar tanah air.

“Bukan sahaja sukarela mahu menjaga Bunga, malah dia juga memberi nasihat kepada saya tentang watak apa yang perlu dibawa. Dia tidak pernah menghalang, jauh sekali mengongkong saya.

“Saya pula tidak mahu hantar anak ke pengasuh kerana sudah dengar bermacam insiden. Jika mahu ada pengasuh pun, perlu ada ahli keluarga yang memantau.

“Bila orang cakap ibu mentua yang baik ini satu rezeki, saya sangat setuju,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, dedah pelakon Mimpi Yang Sempurna itu lagi, Sheila tidak pernah membiarkan dirinya dengan perut kosong, ada sahaja makanan yang dimasaknya.

“Selain jaga anak, saya sebutlah nak makan apa. Nanti dia akan masakkan. Tidak pernah saya dengar dia mengeluh atau mengadu.

“Makanan kesukaan saya tentulah Mi Kari. Apa sahaja yang dimasak, semuanya sedap,” katanya.

Ditanya apakah rahsia Elisya sehingga boleh menjadi menantu kesayangan, pelakon berusia 25 tahun itu tersenyum manis.

“Apa yang boleh saya katakan, kami berdua kerap memasak bersama dan disitulah terjalinnya kasih sayang yang kuat.

“Suami saya suka makan, jadi saya belajar banyak resepi daripada ibu mentua.

“Mama Sheila ada sahaja tegur masakan saya kadangkala tawar atau masin, tapi tidak pernah dalam nada menjatuhkan atau marah,” katanya.

Terdahulu, Elisya, melangsungkan perkahwinan dengan Uzair Haqimy pada 21 Ogos 2021 selepas hampir tujuh bulan menjalin pertunangan.

Berkat perkawinan mereka dikurniakan seorang anak, Bunga Elhaq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN