KUALA LUMPUR : Penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menasihati anak saudaranya, Ummi Umaira supaya tidak mudah berasa megah menerima sebarang pujian terutama apabila kini semakin serius berkecimpung dalam industri seni.
Bahkan, Siti juga mengingatkan penyanyi cilik berusia 12 tahun itu bahawa perjalanannya masih panjang selain berharap Umai terus belajar dan menghormati orang atau penyanyi lain yang lebih dewasa sepanjang hidup.
“Alhamdulillah, ini permulaan yang baharu. Masih jauh perjalanan Umai. Selalulah belajar dan jangan berhenti belajar.
“Bila orang puji, jangan meninggi diri ya Umai. Selalu hormat orang yang lebih senior (dewasa),”katanya.
Luahan itu dibuat Siti susulan pujian ramai impak persembahan cemerlang di samping penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan, sewaktu Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0, baru-baru ini.
Dalam pada itu, penyanyi itu juga berpesan supaya Umai supaya selalu ada rasa kekurangan dalam diri dan mendoakan agar gadis itu berjaya dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Selalu rasa ada kekurangan. Mak Iti (panggilan Siti) doakan Umai berjaya dalam setiap apa yang dilakukan. Allah, Rasul, ayah dan ibu jangan sesekali dilupakan.
“Insya-Allah, selamat hidup,” tulis Siti dalam ruangan komen perkongsian ibu Umai dalam Instagram.
Terdahulu, menerusi video yang dikongsikan ibu kepada Umai yang juga adik kepada Siti iaitu Sairah, wanita itu masih tidak boleh melupakan momen ketika anaknya dipanggil ke atas pentas untuk berduet dengan Cakra menyanyikan lagu Seluruh Cinta, nyanyian asal bersama Siti Nurhaliza.
“Ibu masih tidak boleh ‘move on’. Allah SWT sebaik-baik perancang. Alhamdulillah. Siti, mohon kebenaran ya. Konsert kali ini sedikit memberi kesan positif buat Umai,” tulisnya.
Umai mencetuskan rasa bangga khalayak, terutama keluarga apabila berkongsi pentas secara spontan dengan Cakra Khan dalam Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0, pada Sabtu lalu.
Sairah berkata, dia terkejut saat Datuk Ramli M.S selaku pengarah muzik konsert tersebut, memanggil Umai untuk naik ke pentas membawakan sebuah lagu berjudul Seluruh Cinta secara spontan.
Tambah mengujakan, Umai yang mendapat tajaan ke Hollywood, Amerika Syarikat mewakili negara ke World Championships Of Performing Arts (WCOPA) tidak mensia-siakan peluang untuk beraksi dengan cemerlang.
Cakra pada sidang media selepas konsert di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu juga tidak menyangka penganjur mengundang anak saudara penyanyi dihormatinya yang disifatkan mempunyai bakat luar biasa. – HIBGLAM