Ruangan podcast patut ada tapisan elak perbualan merapu - Naim Daniel - Utusan Malaysia

Ruangan podcast patut ada tapisan elak perbualan merapu – Naim Daniel

SHAH ALAM 6 SEPTEMBER 2023- Sesi Fotografi bersama penyanyi, Naim Daniel pada sidang media Konsert Patah Hati di Bandar Utama Petaling Jaya di sini, hari ini. Foto: ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel membidas segelintir selebriti dan pempengaruh yang dianggap dangkal apabila tergamak mengeluarkan kenyataan seolah-olah cuba menghasut pemikiran generasi muda agar melihat institusi persekolahan dan pendidikan sebagai tidak penting.

Menurut Naim, golongan pempengaruh sepatutnya menggunakan kapasiti dan ruangan podcast yang diwujudkan dengan menyalurkan informasi yang berguna kepada pengikut dan bukannya mengeluarkan kenyataan merapu.

“Bagi saya kita harus bertanggungjawab atas apa yang kita sampaikan. Saya rasa sepatutnya podcast ini sekurang-kurangnya kena ada tapisan. Apa sahaja isu boleh nak dibahaskan tapi dengan siapa yang dirujuk itu penting sebenarnya. Contohnya kalau orang nak borak tentang kapal selam tak akan nak panggil saya? Mestilah tidak sesuai.

“Sebab sekarang bila kita lihat terutamanya kanak-kanak minat untuk belajar itu lebih kepada di TikTok atau media sosial. Benda-benda yang mudah untuk diakses.

“Bayangkan, contohnya bahan kandungan seperti itu menjadi tular dan melekat dalam pemikiran kanak-kanak tentang sekolah ini tiada apa yang menarik, mesti mereka akan fikir perkara itu betul. Kita tidak mahulah buang bangsa yang suka menimba ilmu.

“Kita ini rugi sebab bila makin senang kita nak lagi senang tanpa memikirkan apa yang akan jadi pada masa hadapan. Betul, saya memang marah sangat sebab saya rasa tak semua orang boleh buat podcast,”katanya.

Naim berkata demikikan selepas majlis pelancaran single terbaharu Elly Mazlein berjudul Sayap di ibu negara, semalam.

Selain itu, Naim juga mengakui emosinya turut terkesan kerana tindakan golongan itu yang memberikan kesan buruk terhadap rakan-rakan selebriti lain.

“Kalau nak katakan ia sebagai satu strategi pemasaran, tak akanlah tahap itu sahaja kita nak buat terutama daripada orang yang bergelar pempengaruh atau selebriti?

“Tak akan kita nak letakkan standard pemikiran rakyat Malaysia ini pada tahap negatif dahulu baru dapat perhatian? Memang selalunya orang akan tertarik dengan benda negatif tetapi adakah itu legasi yang kita nak bagi pada anak-anak di masa akan datang?”katanya.

Jelas Naim lagi, secara peribadi, dia juga sentiasa mencuba berhati-hati dalam memberikan jawapan pada setiap temu bual yang dilakukan bagi mengelak ia disalah anggap.

“Saya sendiri pun, bila saya menjawab dalam temu bual saya akan berikan bahagian terbaik apa yang boleh saya sampaikan.Sebab kita tidak mahu jawab secara semberono atau main tembak sahaja. Sayang sebab orang akan tengok.

“Apa yang selebriti ini sampaikan, apa yang kita pakai, apa yang kita buat, apa yang kita utarakan dalam podcast. Nanti orang pukul rata, orang akan kata artis Malaysia ini tahapnya setakat itulah. Buat podcast cerita benda yang merepek.

“Ataupun tajuk yang tak reti nak ulas tapi nak ulas, itulah jadinya. Kita tidak mahulah begitu. Bagi saya podcast ini bukan tak boleh diwujudkan. Tetapi harus diberikan kepada orang yang selayaknya,” jelasnya.

Terdahulu, tular sebuah video ringkas yang merakamkan seorang pempengaruh memberikan pendapatnya mengenai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pempengaruh itu berpendapat orang ramai sepatutnya memberikan keutamaan terhadap ilmu Allah SWT kerana SPM tidak mempunyai nilai dan dalam kehidupan seseorang.

Selain pempengaruh berkenaan, penyanyi As’ad Motawh juga turut dikecam kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan pembaziran masa untuk ke sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN