Komposer, penulis lirik miliki hak cipta, bukan label syarikat rakaman - Kaka Azraff - Utusan Malaysia

Komposer, penulis lirik miliki hak cipta, bukan label syarikat rakaman – Kaka Azraff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI : Penyanyi, Kaka Azraff,35, mengakui tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu-lagu popularnya bersama Warner Music Malaysia meskipun sudah tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman tersebut.

Menurut Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, ini kerana kuasa mutlak hak cipta sesebuah lagu dimiliki oleh komposer dan penulis lirik bukannya syarikat rakaman.

“Alhamdulillah tiada masalah, mungkin ramai tak tahu fasal hak cipta kuasa adalah kepada komposer bukan label. Artis-artis baru mereka kena tahu sebab saya sendiri pun baru menyedari mengenainya.

“Awalnya memang saya takut tentang isu hak cipta tapi bila mendalami tentangnya tak perlu takut sebab komposer dan penulis lirik yang ada hak ke atas lagu ciptaan mereka.

“Saya ada hubungan yang baik dengan komposer serta penerbit lagu malah dengan label lama pun tiada masalah,” katanya.

Kaka berkata demikian ketika ditemui selepas program bual bicara Menangani Krisis, Membina Reputasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Kaka berkata, dia sudah ‘move on’ daripada isu penamatan kontrak bersama Warner Music Malaysia dan mahu memberi fokus kepada impian menerbitkan album penuh tidak lama lagi.

Tambah Kaka, dia juga tidak menolak bahawa bergerak sendiri mempunyai cabaran besar dalam kerjaya namun bersyukur kerana pihak kerajaan juga sangat prihatin dengan nasib menimpanya sebelum ini.

“Ada pelbagai dana yang golongan seni patut kerajaan sediakan untuk membantu kita. Tak perlu ingat yang label sahaja boleh bantu kita,” katanya.

Sementara itu, Kaka juga tidak serik untuk kembali bernaung di bawah naungan mana-mana syarikat rakaman selepas ini namun akan lebih berhati-hati dengan kandungan kontrak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN