Dua bulan tak jumpa anak, Fizi Ali tuntut hak penjagaan kekal - Utusan Malaysia

Dua bulan tak jumpa anak, Fizi Ali tuntut hak penjagaan kekal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Konflik antara penyampai Hot FM, Fizi Ali dengan bekas isterinya, Shakila Khoriri memasuki episod baharu apabila keduanya hadir Mahkamah Tinggi Shariah Shah Alam, di sini bagi sebutan sebutan kes hak penjagaan (hadanah) anak mereka, Ameena Sofia.

Fizi yang ditemui media selepas prosiding tersebut memaklumkan tuntutan itu dibuat bagi memastikan dia mendapat hak penjagaan sama rata ke atas anaknya itu.

“Kami sewaktu prosiding tadi telah berbincang, bagaimanapun tiada persetujuan dicapai. Dia (Shakila) tidak bersetuju dengan permintaan saya.

“Kalau boleh saya nak perkara ini selesai hari ini kerana saya sudah tak larat begini. Saya sangat merindukan Ameena, sudah dua bulan tak jumpa dia, itu adalah tempoh paling lama saya tak bertemu dia.

“Anak perlukan mak dan bapanya. Kalau sebelum ini perbincangan dibuat, perkara ini tidak akan menjadi masalah. Tapi ia sukar dibuat. Sebab itu saya ambil jalan undang-undang untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Fizi atau nama penuhnya Mohd. Hafizudin Alimundin, 34, diwakili peguam syarie, Norhusniah Husin.
Turut hadir adalah isterinya, Siti Zulaikha, 31.

Dalam pada itu, Fizi menepis dakwaan Shakila yang kononnya dia mengabaikan tanggungjawab untuk berjumpa Ameena.

Katanya, dakwaan itu tidak benar malah usaha tersebut (berjumpa anak) terkubur selepas beberapa kali dihalang.

“Saya ada ke sekolah Ameena, tapi cikgunya tak benarkan saya berjumpa dia. Banyak yang saya telah buat dan semua ini akan saya jelaskan di mahkamah nanti.

“Kalau ikutkan memang saya boleh pergi di mana Ameena berada dan ambil dia. Tapi kita ada undang-undang. Saya tak mahu didakwa kerana mencoroboh dan sebagainya. Itu tak perlu berlaku.

“Saya cuma mahukan hak penjagaan anak sama rata, tak pernah berniat untuk rebutkan anak. Saya cuma mahu Ameena dapat kasih sayang ibu dan ayahnya,” jelasnya.

Sementara itu, peguam Norhusni mengesahkan bahawa tuntutan yang dibuat Fizi adalah hadanah kekal bagi mendapatkan hak lawatan Ameena.

Katanya prosiding seterusnya akan dijalankan pada 22 Februari depan iaitu sesi sebutan di hadapan pendaftar kes berkenaan.

Fizi mendirikan rumah tangga dengan Shakila pada 18 Februari 2018. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ameena.

Namun perkahwinan mereka sekadar bertahan selama tiga tahun apabila keduanya memutuskan untuk bercerai pada Disember 2021.

Fizi pada 23 Oktober tahun lalu mengumumkan perkahwinannya dengan Zulaikha yang merupakan rakan perniagaannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya