KUALA LUMPUR : Kumpulan popular dari Indonesia, Ungu, menyimpan hasrat besar untuk berkongsi pentas dengan kumpulan Exists menerusi penganjuran konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless, yang akan berlangsung pada 25 Februari tahun hadapan.
Menurut vokalisnya, Pasha, populariti kumpulan Exists sememangnya tidak dapat disangkal sementelah mencipta fenomena tersendiri di kalangan peminat di Indonesia sehingga kini.
“Kalau ditanya siapa yang kami suka jika dapat berkolaborasi, kumpulan Exists. Saya suka lagunya kerana di zaman saya, mereka itu sangat popular di Indonesia, malah saya sendiri mengidolakan mereka.
“Kalau Amy, tak usah cakaplah, dia juga cukup diminati ramai. Amy itu dari dulu sampai sekarang, orang masih kenal dan suka lagunya, begitu juga dengan kumpulan Wings dan Slam. Tetapi, Exists ini saya paling suka lagunya namun belum pernah jumpa orangnya,”katanya.
Selain itu, akui Pasha, dia tidak begitu mengenali mana-mana artis baharu di Malaysia untuk menjalin kerjasama.
“Kalau tanya artis baharu, saya tidak kenal dan tidak ‘update’. Tapi kalau peminat bagi cadangan nama artis baharu yang mereka mahu gandingkan bersama, tak ada salahnya.
“Seboleh-bolehnya biarlah penyanyi wanita sebab Ungu juga ada lagu seperti Terlanjur Cinta, Tercipta Untukku dan sebagainya,” katanya.
Pasha berkata demikian semasa ditemui di sidang media Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless yang akan berlangsung di Mega Star Arena, pusat beli belah Sungei Wang.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai konsert tersebut, Ungu berjanji untuk tampil dengan persembahan menghiburkan pada konsert tersebut nanti selain gembira dapat berkunjung lagi ke Malaysia untuk mengadakan persembahan.
“Sangat senang untuk kembali menjayakan konsert di KL yang sudah ibarat seperti rumah kedua kami. Hasil perbincangan dengan penganjur Ungu akhirnya mencapai kata sepakat Ungu Live In Kuala Lumpur akan menyaksikan kami dengan 30 karya paling unggul yang pernah diciptakan Ungu akan dipersembahkan kepada peminat, Insya-Allah.
“Ini adalah konsert yang ke sekian kali di KL, saya kira KL sudah tentu mempunyai kekuatan tersendiri dan memorinya yang luar biasa bagi Ungu sebab sepanjang Ungu melaksanakan konsert di KL, kami boleh cakap kami tak pernah gagal.
“Ia bukan kerana Ungu hebat atau luar biasa tapi masyarakat Malaysia menyambut Ungu dengan baik jadi setiap konsert kamj berjalan dengan baik. Yang kedua teman-teman media juga sudah lama kenal sama Ungu, rasanya sejak 2007 jadi sudah lebih 16 tahun kami ke sini.
“Disebabkan itu ia menjadi cabaran besar buat Ungu kerana apa lagi yang boleh kami tambah dalam konsert kami untuk kalian? Kunci utamanya tetap peminat, saya harap kita semua boleh sama-sama menjayakan konsert ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pasha berkata di konsert anjuran Icon Entertainment itu mereka bakal menyampaikan medley lagu-lagu popular dari Malaysia dan Indonesia sebagai tanda penghargaan buat peminat di sini.
Selain Pasha, Ungu yang ditubuhkan pada 1996 di Jakarta ini turut dianggotai oleh Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (Bass), Rowman (dram).
Antara lagu-lagu popular Ungu termasuk Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Tercipta Untukmu dan Andai Ku Tahu.
Ungu memiliki lapan album studio dengan yang sulung dirakamkan pada 2002 iaitu Laguku, beberapa album keagamaan yang cukup popular termasuk SurgaMu (2006) serta album runut bunyi.