KUALA LUMPUR : Pelakon, Sharnaaz Ahmad, meluahkan rasa syukur selepas dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan dalam insiden yang berlaku di sebuah kondominium pada 16 Jun 2022.
Susulan itu, menurut Sharnaaz, dia juga berjanji tidak akan mencetuskan lagi sebarang masalah selepas ini.
“Assalamualaikum saya di sini ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengikuti kes saya dengan rapat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada dua orang kuat iaitu peguam saya yang menyokong saya sejak tahun lepas.
“Alhamdulillah hari Jumaat, kes saya sudah selesai. Insya-Allah saya tidak buat hal lagi,” katanya.
Sharnaaz berkata demikian dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Sharnaaz bagi mengulas mengenai keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membebaskannya hari ini atas pertuduhan tersebut setelah pekon itu mengemukakan representasi mengugurkan tuduhan berkenaan pada 2 Mei lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak selain wang jaminan turut dikembalikan.
Sharnaaz diwakili peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Sebelum ini, Sharnaaz dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas Kuala Lumpur pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.
Pelakon itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.