Sakit ini telah didiagnos doktor, bukan misteri - Azharina - Utusan Malaysia

Sakit ini telah didiagnos doktor, bukan misteri – Azharina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Mengalami penurunan berat badan mendadak, penyanyi, Azharina, bagaimanapun menafikan ia berpunca daripada penyakit misteri berkaitan dengan ilmu hitam.

Memilih untuk merahsiakannya, Azharina berkata, dia telah kehilangan sehingga lebih daripada lima kilogram berat badan sekali gus menyebabkan kebanyakan pakaiannya menjadi longgar dan perlu dikecilkan untuk digayakan semula.

“Sebenarnya sebelum GV10 bermula lagi sehingga sekarang, berat badan saya semakin menurun. Baju saya kena ‘alter’ beberapa inci kerana besar. Saya kehilangan kira-kira lebih daripada lima kilogram,” katanya.

Pun begitu, Azharina tetap berfikiran positif dan menganggap perkara tersebut (turun berat badan) sebagai bukan satu masalah yang besar.

“Tapi saya anggap itu perkara yang bagus dan sentiasa berfikiran positif,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai penyakit yang dialaminya, penyanyi kelahiran Sabah itu kekal mahu mengunci mulut selain mengaku mahu melunaskan tugasannya sebagai peserta program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu berkongsi apa-apa tentang masalah kesihatan saya kerana merasakan ini bukan masa yang sesuai.

“Nanti, bila sudah sampai masanya, saya akan kongsikan. Cuma apa yang boleh dikatakan, sakit ini bukan sakit misteri. Tetapi sakit merbahaya yang didiagnos oleh doktor. Saya dapat tahu sebelum program GV10 bermula,”katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai pengalamannya mendendangkan lagu Ya Maulai nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza, Azharina mengakui bimbang untuk menyanyikan lagu tersebut, sehingga membuatkan dia tidak boleh tidur malam.

“Sangat susah. Masa mula-mula dapat lagu ini (Ya Maulai) pada hari Ahad (konsert minggu ketujuh), balik rumah saya tidak boleh tidur sehingga pukul 10.30 pagi (Isnin).

“Saya dengar berkali-kali lagu tersebut dan rujuk guru vokal saya iaitu cikgu Syafi. Ada tiga key (nada) yang dia beri, semuanya saya tolak.

“Kemudian saya turunkan key kepada dua oktav daripada key asal (tiga oktav). Semasa sesi latihan bersama Tok Ram (Ramli MS), dia suruh naikkan lagi satu key (key asal). Dia kata baru okay, suara saya tidak seperti ‘pondan’,” katanya.

Bagaimanapun, Azharina terpaksa menurunkan kembali kepada dua key kerana berdepan masalah kesihatan selepas mengalami muntah-muntah dan pening kepala sejak Jumaat lalu.

“Saya tidak sihat, ditambah dengan tidak cukup rehat. Tanpa latihan, saya nyanyi sahaja. Alhamdulillah, semuanya terkawal,” katanya.

Ketika konsert minggu kelapan GV10, Ahad lalu, Azharina menduduki tempat keenam dengan markah sebanyak 66.00 peratus, dengan perbezaan 1 peratus markah yang diperolehi Jaclyn Victor (67.00 peratus) di tempat kelima.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN