Peminat harap Noah tidak berehat Panjang - Utusan Malaysia

Peminat harap Noah tidak berehat Panjang

Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur merupakan persembahan terakhir kumpulan itu di Malaysia setelah mengambil keputusan untuk berehat panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kagum dan mempesonakan! Itu ungkapan sesuai buat kumpulan popular dari seberang, Noah yang berjaya memukau hampir 5,500 penonton yang hadir pada persembahan ulung, ‘Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza pada 11 November lalu.

Tidak dinafikan kehadiran Noah merupakan momen yang dinantikan peminat Malaysia dan sehingga kini kumpulan yang dibarisi oleh Ariel (vokal), Lukman (gitari) dan David (keyboard) masih digilai ramai terutamanya melalui lagu-lagu hits mereka yang sering berkumandang di corong radio tempatan.

Noah memberikan kejutan kepada penonton yang membiarkan Ariel ‘terbang’ menaiki belon panas ketika mendendangkan lagu Di Balik Awan.

Tepat pukul 8.50 malam, Ariel muncul di pentas dengan gimik tersendiri sambil disambut dengan sorakan sekali gus menamatkan penantian peminat yang sekian lama menunggu. Tidak menunggu lama, Ariel memecah keheningan dengan membuka pentas menerusi lagu Topeng’ yang diterbitkan pada tahun 2003, ketika kumpulan itu masih dikenali sebagai Peterpan.

Meskipun sudah mencecah usia 40-an, Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham, tetap memberikan persembahan yang cukup energetik dan bertenaga dengan melantunkan listrik vokal yang padu dan luar biasa.

Tidak cukup dengan itu, Noah kembali meneruskan momentum persembahan dengan mendendangkan seleksi 24 buah lagu hits mereka antaranya, Separuh Aku, Menemaniku, Menunggumu, Ku Katakan Dengan Indah, Ada Apa Denganmu, Khayalan Tingkat, Tak bisakah, Bintang Di Syurga, Di Atas Normal, Walau Habis Terang, dan Tak Lagi Sama sekali gus melonjak adrenalin penonton yang rata-rata turut sama menyanyi.

Penyanyi rap popular, Joe Flizzow bersama Ariel menyanyikan lagu baharu kumpulan Noah berjudul Suara Dalam Kepala.

Lebih istimewa, apabila Ariel sekali lagi melakukan gimik ‘terbang’ dengan menaiki belon panas ketika membawakan lagu Di Balik Awan sehingga membuatkan penonton terkesima. Kemunculan penyanyi rap tanah air, Joe Flizzow menyanyikan lagu baharu Noah berjudul Suara Dalam Kepala bersama Ariel sekali lagi menghangatkan suasana sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

Ariel menutup persembahan pada malam itu dengan lagu, Mungkin Nanti, karya telah yang berusia lebih 20 tahun, sekali gus telah melonjakkan namanya satu ketika dahulu. Sebelum mengakhiri persembahan, Ariel turut memberitahu ini adalah merupakan konsert terakhir Noah di Malaysia setelah mereka mengambil keputusan untuk berehat sebelum bersedia untuk kembali ke pentas.

Konsert yang dianjur oleh YOLO Malaysia ini pastinya merupakan momen terindah dan naskah perpisahan yang tidak dapat dilupakan peminat. Rata-rata yang ditemui mengharapkan ‘hiatus’ Noah tidak mengambil masa lama memandangkan mereka masih diminati dan mampu menghasilkan karya-karya bermutu dan terbaik seperti sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN