KUALA LUMPUR : Terlalu hampa dan sedih dengan pelbagai maklumat mengenai penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin, pelakon, Sharifah Sakinah, 34, membuat keputusan untuk enggan membaca sebarang laporan berita di media massa.
Perkara itu dikongsikan adik pengacara dan juruhebah terkemuka, Sharifah Shahirah, ini di Instagramnya semalam yang menyaksikan pelbagai reaksi daripada pengikut dan peminatnya di ruangan komen.
“Saya akan berdiam diri selama beberapa hari sehingga 26 November ini daripada media sosial. Saya akan berehat sekejap daripada menatap dan membaca sebarang berita atau apa sahaja platform media lain.
“Sangat menyedihkan untuk melihat dunia kebelakangan ini. Jadi saya mahu meletakkan keutamaan buat diri, melindungi emosi diri sendiri.
“Namun pada masa yang sama saya akan tetap mendoakan mereka yang terjejas akibat peperangan dan kerakusan manusia. Buat keluarga dan rakan kenalan, anda tahu mana nak cari saya,”katanya.
Menerusi hantaran yang sama, Sakinah turut meminta mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengannya perlu mengikut beberapa syarat yang ditetapkan.
Paling menarik perhatian warganet ialah ketetapan syarat supaya produk tersebut tidak mempunyai kaitan atau menyokong peperangan termasuk menyumbang kepada pemanasan global.