Dua tahun melakukan persediaan vokal dan tarian sebelum muncul di persada arus perdana, kumpulan Wandted yang dibarisi enam gadis kini tekad menawan dunia hiburan.
Mempertaruhkan single berjudul Cinderella, Aela, Bell, Rae, Ann, Rika dan Deanna yang tampil dengan genre Mpop mengakui bukan muncul sekadar memeriahkan industri seni, sebaliknya tampil dengan imej tersendiri.
Anggotanya, Aela yang juga pelakon dan model mendedahkan setiap ahli Wandted melalui tapisan ketat sebelum diserap sebagai ahli sekitar tahun 2020 seterusnya menyertai kem latihan di bawah bimbingan profesional.
“Masing-masing mempunyai latar belakang di bidang seni selain asas vokal serta tarian dan kemudian digabungkan dalam Wandted yang sememangnya landasan untuk kami memperjuangkan muzik Mpop.
“Namun asas saja tidak mencukupi, jadi latihan serta persediaan selama dua tahun termasuk vokal, tarian, komunikasi, penjagaan imej serta aspek utama lain membolehkan kami ‘masuk’ industri dengan bermodalkan ilmu.
“Single Cinderella ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh menjadi sandaran memperkenalkan Wandted di arena muzik tempatan,” katanya.
Menurut gadis berdarah campuran Melayu-Cina itu, kehadiran mereka bukan untuk menyaingi sesiapa mahu pun kumpulan sedia ada terutama Dolla, tetapi lebih kepada memberi alternatif kepada khalayak pendengar.
“Cita rasa peminat muzik berbeza, jadi kenapa tidak kita berikan pilihan apatah lagi menawarkan genre M-pop yang berpaksikan alur irama kegilaan generasi masa kini dari Korea Selatan.
“Negara itu melahirkan banyak kumpulan K-pop popular hingga mampu menembusi pasaran antarabangsa, sekaligus kami yakin M-pop juga mampu berkembang pesat.
“Melihat pencapaian bintang K-pop, Wandted juga menyahut cabaran melalui sesi latihan jitu selama dua tahun supaya lebih bersedia untuk debut kami ini. Penantian itu berbaloi,” tambahnya.

Bercerita lanjut mengenai Cinderella yang dilancarkan 3 November lalu, Rae pula selaku ‘rapper’ dalam kumpulan tersebut mengakui teruja dengan respons pemerhati muzik.
Rata-rata memberikan maklum balas positif kepada lagu serta video muzik yang menonjolkan kekuatan dalaman serta pemerkasaan wanita seperti dalam lirik.
“Cinderella istimewa apabila mempunyai kekuatan dari segi alunan instrumen yang menggambarkan konsep ‘fairytale’ bertepatan dengan tajuknya.
“Secara tidak langsung kami mengangkat tema pemerkasaan wanita walau berada dalam mana-mana situasi. Irama serta seni kata ‘catchy’ menyuntik semangat buat pendengar,” ulasnya yang masih menuntut di Universiti Malaysia Sarawak.
Bagi seorang lagi tunjang Wandted, Ann, peluang serta kepercayaan diberikan syarikat pengurusan Echovibes Communications dan Civicas Networks tidak mungkin disia-siakan.
“Istimewanya Wandted adalah gabungan enam anggota yang agak jarang dilihat kerana kebiasaannya grup seperti ini antara empat dan lima orang saja.
“Ini semua cetusan idea syarikat pengurusan yang menaruh keyakinan tinggi terhadap formula ‘the more the merrier’ terutama membabitkan grup berpaksikan nyanyian dan tarian.
“Dari segi keserasian pula sememangnya pertama kali dipertemukan kami sudah sekepala kerana usia sama sekitar awal 20-an, selain ‘gila’ menari, jadi semuanya bagai dipermudahkan,” katanya.
Video muzik Cinderella One Stop Music (OSM) Berhad boleh diikuti menerusi penstriman di semua platform digital termasuk YouTube bermula 7 November lalu.










