KUALA LUMPUR : Pelakon jelita, Sophia AlBarakbah,30, menegaskan mana-mana isteri pelakon lelaki tidak perlu berasa bimbang atau takut sekiranya suami mereka ditugaskan untuk bergandingan dengannya sebagai pasangan di kaca televisyen mahupun di layar perak.
Menurut Sophia, dia bukan satu ancaman dan seharusnya perasaan tersebut tidak perlu wujud memandangkan apabila berada di set penggambaran, keutamaan adalah terhadap kerja yang dipertanggungjawabkan penerbit dan pengarah.
“Tak perlu rasa insecure (tidak selamat) sebab saya hanyalah wanita biasa dan manusia yang normal.
“Namun, semua itu terpulang kepada keputusan masing-masing dan tiada yang perlu diulas lebih lanjut mengenainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Selain itu, kata Sophia, dia tidak pernah mencampur adukkan urusan kerja dengan hal peribadi selain sentiasa profesional dalam menjayakan apa sahaja watak diberikan.
“Saya seorang yang profesional apabila bekerja, walau apapun terjadi, saya hanyalah melakonkan watak yang diberikan sahaja.
“Jadi, tak perlu nak rasa takut sebab saya bukan ancaman pun. Pada akhirnya, semuanya mengenai kepercayaan terhadap pasangan masing-masing,” katanya lagi.
Ditanya mengenai namanya yang kian laris kini sehingga kerap dipilih sebagai teraju utama drama dan filem, Sophia bagaimanapun menolak semua itu disebabkan kisah-kisah kontroversi membabitkan dirinya kebelakangan ini.
“Alhamdulillah, saya percaya pengarah dan penerbit mengambil saya berlakon bukan semata-mata kerana kontroversi tetapi sebab bakat yang dimiliki juga,” ujar pelakon drama Viu From Saga With Love itu.
Sebelum ini, nama Sophia kerap dikaitkan dengan beberapa pelakon lelaki yang pernah bergandingan dalam drama-drama lakonannya.
Antara yang paling hangat diperkatakan ialah gosip cinta lokasinya dengan Aliff Aziz bagi drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.