Dua tahun lepas, saya hampir sertai misi kemanusiaan di Gaza - Noor Neelofa - Utusan Malaysia

Dua tahun lepas, saya hampir sertai misi kemanusiaan di Gaza – Noor Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Selebriti popular, Noor Neelofa, 34, mendedahkan, dia dan suami, penceramah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail, hampir menyertai misi kemanusiaan di Gaza, Palestin bagi menghulurkan bantuan sumbangan kepada rakyat yang terjejas di negara bergolak tersebut sekitar dua tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Neelofa berkata, hasrat murni tersebut bagaimanapun terpaksa ditangguhkan memandangkan keadaan keselamatan di daerah tersebut yang tidak menyakinkan.

“Sepatutnya, saya dan Haris hampir sahaja ke Gaza pada dua tahun lepas demi menyertai misi kemanusiaan. Waktu yang sama di mana selebriti media sosial, Caprice dan Ustaz Ebit Lew diberitakan turut menyertai misi kemanusiaan di sana.

“Bagaimanapun, perancangan itu terpaksa ditangguhkan kerana kami dimaklumkan berlaku gencatan senjata di daerah Gaza ketika itu. Jadi, saya dan Haris akur dengan keadaan yang tidak mengizinkan,”katanya.

Jelas Neelofa, meskipun tidak menyertai misi tersebut, dia dan suami masih meneruskan bantuan sumbangan kepada saudara Islam di Palestin dari semasa ke semasa terutama apabila mengenang nasib malang yang menimpa anak-anak kecil di sana.

“Lagi-lagi saya dan Haris kini sudah mempunyai dua anak lelaki yang masih kecil. Jadi, mengenangkan kezaliman yang berlaku terhadap anak-anak kecil di sana, hati kami menjadi sangat terkesan berbanding sewaktu kami belum mempunyai anak.

“Keadaan itu jadi berbeza kini. Mental dan emosi saya sebagai ibu khususnya, menjadi semakin dekat dengan anak-anak kecil yang dizalimi tentera zionis di sana.

“Justeru, dari semasa ke semasa, ada sumbangan yang kami hulurkan sebagai bantuan buat mereka di sana,. Tetapi, pada kebanyakan waktu, kami memilih untuk tidak mencanangkannya kepada umum,”katanya.

Dalam pada itu, Neelofa melihat gelombang kesedaran tentang penindasan rakyat Palestin oleh penduduk seluruh dunia juga memberi petanda positif termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Katanya, ini kerana keadaan itu berbeza dengan sebelum ini di mana ramai tidak cakna atau prihatin dengan nasib rakyat di negara tersebut.

“Sebelum terjadi gelombang baharu ini, kita dapat tengok, ada yang ambil tahu, ada yang faham, ada yang tak faham dan tak peduli pun. Tetapi sekarang, semakin ramai yang ambil tahu dan faham dengan apa yang terjadi.

“Semakin ramai yang mula berani bersuara atas dasar kemanusiaan dan itu tidak cuma daripada umat Islam, tetapi juga mereka yang bukan beragama Islam.

“Saya benar-benar berharap, semangat dan solidariti terhadap rakyat Palestin ini bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kita kena teruskan bantuan dan peduli dengan nasib saudara Islam di sana,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN