SHAH ALAM : Penyanyi, Liza Hanim, mengakui tidak mampu menahan sebak ketika menyanyikan lagu berjudul Kembali Terang semasa membuat persembahan pada minggu kelima program All Star Gegar Vaganza (GV10) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam tadi.
Menurut Liza yang juga peserta program berkenaan, naluri keibuannya sukar untuk membayangkan penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh anak-anak kecil di bumi Palestin yang dizalimi tentera Israel.
“Sebagai seorang ibu, agak payah untuk saya teruskan persembahan ini, saya akui apa yang terjadi di Palestin memberi kesan kepada saya.
“Saya mohon semua orang berdoa, kepada yang ada anak, peluk eratlah anak selagi mereka masih berada di hadapan kita,” katanya.
Persembahan Liza itu turut mendapat pujian juri tetap, Hetty Koes Endang yang menyifatkan penyanyi tersebut mampu menjiwai lagu yang diberikan sekali gus turut menyentuh hati penonton.
“Emosi dan penjiwaan dapat, saya merasai jiwa dalam penyampaian kami, ” katanya.
Selain penonton, pengacara, Jihan Muse juga dilihat mengalirkan air mata sekali gus terkesan dengan penjiwaan lagu yang dibawakan oleh Liza.
GV10 memperlihatkan persaingan 10 bintang yang terdiri daripada juara-juara GV dari musim pertama hingga kesembilan.
Tambahan enam lagi bintang dipilih berdasarkan undian peminat menjadikan jumlah keseluruhan peserta GV10 adalah seramai 16 peserta.