Anak-anak ND Lala juga macam anak saya - Roslan Madun - Utusan Malaysia

Anak-anak ND Lala juga macam anak saya – Roslan Madun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi lagu tradisional, Roslan Madun, berharap konflik yang berlaku dalam keluarga penyanyi Shila Amzah dapat segera berakhir sekali gus menyaksikan masing-masing dapat berbaik semula sebagai sebuah keluarga.

Kata Roslan, sebagai rakan baik kepada Datuk ND Lala, dia juga tidak dapat menahan rasa sedih apabila melihat keluarga tersebut diuji.

“Sejak dulu saya memang berkawan baik dengan ND Lala. Boleh dikatakan rapat juga dengan keluarga penyanyi tersebut.

“Anak-anak dia dah macam anak saya juga, sudah saya anggap macam keluarga saya sendiri. Masakan tidak, mereka semua membesar depan mata saya.

“Saya tengok ketika mereka susah senang depan mata saya,”katanya sambil tidak dapat menahan sebak.

Roslan berkata demikian semasa ditemui di sidang media Seloka Legenda Waris Seni 2023, di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Roslan juga berkongsi memori bagaimana detik permulaan Shila memulakan kerjaya sebagai penyanyi cilik.

‘’Masih saya ingat, semasa kecil, Shila banyak mengisi slot nyanyian jika penyanyi lambat sampai dan VIP hadir lambat dia yang bantu menceriakan pentas.

“Kebolehannya sebagai penyanyi itu sudah terserlah sejak kecil. Disebabkan itu, apa pun yang terjadi, saya harap masing-masing antara mereka dapat selesaikan konflik dengan baik. Berbincang elok-elok dan tak perlu hebohkan di media sosial,”katanya.

Terdahulu, konflik keluarga Shila bermula selepas adik bongsunya, Syada Amzah memuat naik hantaran mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.

Berikutan itu, Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung di Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berumur 28 tahun.

‘Perbalahan’ berterusan berlaku apabila adiknya, Syafiq dan Syada termasuk ibu, Fauziah Sarman, bersuara di media sosial sekali gus mengeruhkan lagi keadaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN