Rihanna ‘umum’ hamil anak kedua di pentas Superbowl 2023 - Utusan Malaysia

Rihanna ‘umum’ hamil anak kedua di pentas Superbowl 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkemuka, Rihanna memilih pentas persembahan Superbowl Halftime Show 2023 untuk ‘mengumumkan’ mengenai kehamilan keduanya yang kini menjadi bualan hangat di semua platform media sosial.

Kembali tampil dalam persembahan berskala besar setelah kali terakhir beraksi pada 2016, Rihanna bagaimanapun, tidak ‘memberitahu’ kepada umum secara terperinci mengenai perkara itu.

Ramai dalam kalangan peminat hanya meneka tentang kehamilannya menerusi busana yang dipakai penyanyi tersebut yang menampakkan bentuk perutnya seakan membuncit.

Hanya setelah persembahan selesai, wakil publisiti Rihanna, tampil mengesahkan penyanyi kelahiran Barbados itu sedang hamil anak kedua tanpa menyatakan usia kandungannya.

Menerusi makluman itu, penonton memuji penyanyi berusia 34 tahun tersebut yang kelihatan begitu energetik ketika membuat persembahan selama sejam di pentas Superbowl.

Malah, ramai turut memuji tindakan Rihanna yang tidak terlalu mengejar perhatian berbanding Beyonce yang pernah mengumumkan kehamilannya ketika menghadiri acara MTV VMA pada 2011.

Sementara itu, persembahan di Superbowl itu menyaksikan Rihanna membawakan lagu hits seperti Where Have You Been, Only Girl (In the World), We Found Love, Rude Boy, Work, Wild Thoughts, Pour It Up, All of the Lights, Run This Town dan Umbrella.

Persembahannya mendapat sorakan gemuruh penonton yang hadir mengisi ruang Stadium State Farm Arizona, Amerika Syarikat (AS), selain turut dipancarkan secara langsung menerusi platform penstriman, Fox Sports dan pelbagai platform siaran atas talian lain.

Sebelum ini, pentas Superbowl Half Time Show pernah dimeriahkan dengan persembahan artis antaranya Michael Jackson, Prince, The Rolling Stones, Lady Gaga, Bruno Mars, Beyonce, Jennifer Lopez, Shakira, Eminem, Dr Dre, Snoop Dog dan Madonna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN