Fitnah: Rafizi diarah fail pembelaan .

Fitnah: Rafizi diarah fail pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli telah diarahkan untuk memfailkan pembelaan berhubung kes saman fitnah oleh pempengaruh, Caprice yang menuntut ganti rugi RM10 juta berkait dakwaan rasuah membabitkan bekas menteri itu.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Mohd. Rezan Ezra yang mewakili Caprice atau nama sebenarnya, Mohd. Ariz Ramli ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar.

Turut hadir pada prosiding yang dijalankan secara e-review itu ialah peguam, Edmund Choi bagi pihak Rafizi.

“YB (Yang Berhormat) Rafizi telah sah terima saman melalui peguam beliau and (telah) memfailkan memorandum kehadiran. Mahkamah mengarahkan YB Rafizi untuk memfailkan pembelaan beliau pada atau sebelum 9 April 2026.

“Caprice pula untuk memfailkan jawapan kepada pembelaan pada atau sebelum 30 April 2026. Mahkamah turut menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 13 Mei ini,”kata peguam itu.

Menurut saman yang difailkan Caprice selaku plaintif pada 26 Februari lalu, pempengaruh itu mendakwa bahawa Rafizi yang dinamakan sebagai defendan tunggal telah mengeluarkan kenyataan memfitnah dalam empat rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram, X, dan TikTok atas nama pengguna ‘rafiziramli929′ dan ‘rafiziramli’ milik Ahli Parlimen Pandan itu.

Kenyataan berbaur fitnah itu berkait laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap defendan berhubung suatu perjanjian kerajaan dengan sebuah syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, ARM Holdings yang turut melibatkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra.

Dakwanya, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan Caprice telah bersekongkol dengan pihak yang tidak dikenali untuk menyebarkan fitnah terhadap Rafizi, mempunyai niat jahat terhadap defendan dan seorang oportunistik dengan bekerjasama dengan pelaku politik sebagai pertukaran untuk bayaran atau manfaat peribadi. 

Sehubungan itu, Caprice menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan. Beliau turut menuntut ganti rugi khas RM10 juta atas kehilangan pendapatan pada masa ini dan masa hadapan.

Turut dimohon ialah faedah lima peratus atas jumlah ganti rugi yang berikan oleh mahkamah yang dikira dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Plaintif turut memohon defendan membuat permohonan maaf dan perintah injunksi agar defendan memadamkan video-video berkenaan daripada platform media sosial defendan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN