Aliff Iskandar menanti tuah Bahagiakan Dia - Utusan Malaysia

Aliff Iskandar menanti tuah Bahagiakan Dia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka, baru tiga tahun berkecimpung dalam arena muzik, komposer baharu berbakat besar, Aliff Iskandar, 23, berjaya menembus ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL37) menerusi lagu Bahagiakan Dia.

Kongsi Aliff, dia hanya mengambil masa lima minit untuk menghasilkan melodi lagu yang disampaikan oleh paduan suara penyanyi, Liza Hanim dan Shila Amzah.

Ujar anak keempat daripada lima beradik ini, penghasilan lagu yang menceritakan tentang kepasrahan pasangan dalam hubungan perkahwinan angkara orang ketiga merupakan pencapaian terbesar buat dirinya.

“Ini adalah pencapaian paling cepat pernah saya buat ketika hasilkan lagu. Saya hanya siapkan melodi dalam tempoh lima minit sahaja dan baiki sedikit lirik tersebut.

“Saya pun tak sangka idea datang cepat sebab demo lagu ini sangat kuat sebab ada perasaan sangat sedih daripada aspek permainan muzik.

“Bila dengar balik demo, saya dapat rasakan feel nak sampaikan bentuk lagu ini. Proses keseluruhan sehingga lagu ini diterbitkan mengambil masa sehingga empat bulan,” katanya.

Senang kerjasama

Mengulas proses kerjasama dengan dua penyanyi hebat, Aliff berkata, dia berbangga kerana diberikan peluang bekerjasama dengan gandingan penyanyi tersebut semasa proses rakaman lagu di studio.

Katanya, proses perbincangan juga berjalan lancar dan dia bebas melontarkan pandangan walaupun masih mentah dalam industri.

“Banyak kali juga berjumpa dengan Liza dan Sheila bagi mengadakan perbincangan dan konsep lagu. Mereka juga selesa bekerjasama dengan komposer muda seperti saya bagi menyempurnakan lagu ini.

“Sangat senang bekerja dengan mereka dan pilihan gandingan ini adalah sangat bagus walaupun asalnya saya pernah mencadangkan nama penyanyi lain kepada pihak syarikat rakaman,” jelasnya.

Bahagiakan Dia ciptaan Aliff dan lirik pula hasil tulisan Aliff bersama Que Afiq turut dijadikan runut bunyi drama Cinta Hilang Kata.

Menurut Aliff atau nama penuhnya Nor Aliff Iskandar Norazmi, dia sebenarnya tidak pernah mengenali Que sehingga gandingan penulis lirik lagu ini pernah menegurnya dalam media sosial.

“Kami kenal tak lama dalam sembilan bulan. Asalnya dia tegur saya di Instagram dengan idea mengenai lirik lagu tersebut. Saya nampak minat dia terhadap muzik sebab selalu minta pandangan.

“Tak sangka dengan kerjasama secara tiba-tiba ini boleh menghasilkan pencapaian sehingga tahap ini,” katanya.

Persiapan AJL37

Berbaki seminggu sebelum malam kemuncak AJL37, 12 Februari ini, Aliff bersyukur turut berpeluang menyumbang idea terhadap konsep persembahan lagu tersebut.

Katanya, susunan lagu tersebut juga bakal digubah bagi memberikan sedikit kelainan semasa malam penuh berprestij nanti.

“Saya sempat hadir semasa perbincangan dibuat sebab nak merasai sendiri pengalaman kesibukan serta memberikan idea mengenai susunan lagu tersebut. Apapun, segala keputusan saya serahkan kepada pihak pengurusan,” katanya.

Sebelum ini, Aliff yang bakal bergelar guru sudah menghasilkan empat single seperti Perit, Takdir, Bahagia Kembali dan Sedar Ku sehingga menjadi pilihan runut bunyi (OST) drama tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya