Usaha nak bina masjid itu pun duit saya, tak perlu dipolitikkan - Aeril Zafrel - Utusan Malaysia

Usaha nak bina masjid itu pun duit saya, tak perlu dipolitikkan – Aeril Zafrel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Aeril Zafrel, menganggap usahanya bersama isteri, Wawa Zainal, untuk membina masjid tidak perlu dipolitikkan memandangkan dia tidak menggunapakai dana atau sumbangan daripada mana-mana pihak.

Kata Aeril, dia sedar, sebelum ini ada yang cuba memainkan isu itu di media sosial selain menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saya nak jawab pasal bina masjid ini pun segan sebab perancangannya terlalu lama. Kami takut orang anggap kami hanya nak ‘gebang’, tapi bukan kuasa kami sebenarnya. Semuanya harus mengikut prosedur.

“Sebenarnya, kami dah lama nak bina masjid. Tapi prosedur nak bina masjid di Johor berbeza dan agak rumit. Kami memang dah sedia dengan kos kewangan untuk pembinaan masjid itu.

“Boleh sahaja kalau nak teruskan tanpa ikut prosedur tetapi, nanti ia tidak akan mendapat taraf masjid. Mungkin ia akan menjadi surau,”katanya.

Selain itu, Aeril tidak menafikan usaha untuk membina masjid yang terletak di kampungnya di Rengit, Johor itu sudah banyak kali tertangguh berikutan berdepan dengan prosedur yang rumit sejak tiga tahun lalu.

“Saya ada berjumpa dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit dari Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kerana dia merupakan wakil untuk kawasan terbabit. Tak kisahlah parti mana yang menang pun di kawasan sana, memang kena berjumpa juga sebagai tanda hormat.

“Tetapi, tak sangka pula hal itu kemudiannya dipolitikkan. Tak perlulah, saya pun bukan meminta bantuan duit mana-mana parti. Lainlah kalau kami jumpa mana-mana wakil rakyat dan meminta dana atau sumbangan, itu lain pula ceritanya.

“Proses pembinaan masjid semuanya belum bermula. Saya berharap selepas saya berjumpa dengan wakil rakyat itu, proses perjalanan membina masjid dipermudahkan,”katanya.

Tidak menolak bahawa timbul rasa kesal mengenai situasi itu, Aeril bagaimanapun enggan terlalu memikirkannya.

“Apa yang saya boleh buat adalah jalan terus sahaja. Sekarang menanti proses kelulusan, jika ia dipermudahkan, Insya-Allah projek itu akan terus berjalan,”katanya.

Aeril dan Wawa ditemui usai majlis pelancaran koleksi terbaharu Wawa Cosmetics, Wawa X Rozyana, Asmaradana – Lagenda Kembali di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Wawa, produk terbaharu itu merupakan projek kedua kolaborasi bersama pempengaruh TikTok, Rozyana Roslan yang mempunyai lebih 5.2 juta pengikut.

“Selepas produk pertama dilancarkan pada September 2022, permintaan pelanggan terlalu tinggi terhadap minyak wangi itu sehingga terjual lebih 600,000 unit. Kini, kami meneruskan kerjasama dan mengeluarkan saiz botol wangian lebih besar dalam kuantiti yang terhad.

“Alhamdulillah, sebelum majlis pelancaran diadakan, ia sudah habis terjual 40,000 unit. Wangian ini didatangkan dengan tiga jenis varian iaitu Seri Pagi, Syurga Malam dan Mengundang Cinta,” kata Wawa lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya