Trauma zaman kanak-kanak, Nadia Brian prihatin isu kesihatan mental - Utusan Malaysia

Trauma zaman kanak-kanak, Nadia Brian prihatin isu kesihatan mental

KUALA LUMPUR: Pernah melalui insiden keganasan rumah tangga ketika zaman kanak-kanak menyebabkan pelakon, Nadia Brian, 31, trauma hingga memberi kesan terhadap kesihatan mentalnya.

Menurut Nadia, dia tidak memahami apa yang berlaku ketika itu kerana masih kecil, namun insiden itu memberi kesan mendalam terhadap dirinya.

Pelakon asal Kangar, Perlis itu bagaimanapun, tidak berdendam dengan pengalaman lalu.

Dia sebaiknya percaya, setiap yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dan berharap sentiasa dikurniakan ketenangan dalam melayari hidup.

“Semua itu kisah lama dan saya hanya pandang dari sudut positif. Buat apa nak susah hati perkara lepas?

“Dalam hidup ini, hanya satu yang saya mahukan iaitu ketenangan. Tenang itu mahal. Bila tenang, buat apa kerja pun jadi mudah,” katanya.

Tambah Nadia, berdasarkan pengalaman itu, dia ingin mendidik masyarakat supaya mengambil berat isu tersebut menerusi pembabitannya dalam filem Eva yang turut mengangkat tema kesihatan mental.

“Sebagai pelakon, saya percaya kita boleh memainkan peranan dalam mendidik masyarakat terhadap isu kesihatan mental. Lagipun, nakshah ini sarat dengan mesej positif.

“Industri seni kehausan cerita yang berilmiah, mendidik dan memberi manfaat kepada penonton,” katanya yang memegang watak sebagai ahli psikologi bernama Elly.

Filem terbitan D’ Alphalegacy Sdn Bhd dan arahan Suhaiza Aziz ini bakal ditayangkan pada 26 Januari ini.

Selain Nadia, filem ini turut dibintangi oleh Nadia Aqilah, Shamsul Danish, Datuk Jalaluddin Hassan, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan Tony Eusoff.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN