JanGo ketengah budaya Melayu, Cina Malaysia - Utusan Malaysia

JanGo ketengah budaya Melayu, Cina Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kepelbagaian budaya dan bangsa yang ada di Malaysia menjadi pemacu utama buat Syarikat Zebra Studio untuk menghasilkan sebuah lagi filem baharu untuk tayangan global selepas berjaya mencipta kejayaan tersendiri menerusi filem dialek Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie.

JanGo, yang merupakan ringkasan untuk frasa kata Jangan Goyang ialah filem usaha sama antara Zebra Studio dari Malaysia dan Times Multimedia Innovation Ltd yang berpangkalan di Hong Kong.

Selain itu, JanGo juga menjadi filem rentas budaya dalam dwibahasa iaitu Melayu dan Cina yang pertama di Malaysia yang menggabungkan empat pelakon Melayu dan Cina sebagai pemain watak utama.

Hal itu dikongsikan oleh Pengasas dan Penerbit Eksekutif Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi yang menjelaskan bahawa idea untuk menghasilkan filem JanGo telah dicetuskan dua pelakon utamanya, Khir Rahman dan Joey Daud sebelum itu.

“Ketika penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie, Khir dan Joey mengetengahkan idea menghasilkan filem JanGo. Saya tanya apa maksud JanGo? Ini kerana saya tidak melihat program realiti yang pernah mereka sertai.

“JanGo adalah nama kumpulan Khir, Joey dan Vicha, mereka pernah diangkat sebagai juara dalam program realiti itu. Dari pada situ, datangnya idea menghasilkan filem JanGo.

“Namun, lebih istimewa kami menggabungkan pelakon berbangsa Cina. Untuk JanGo 1.0, kami akan fokus di Malaysia, kemudian, Khir dan Joey akan terbang ke Shanghai, China menjalani penggambaran filem JanGo 2.0.

“Sepatutnya, kami perlu ke China terlebih dahulu disebabkan mempunyai pelabur dari China. Namun, kami belum sempat membuat kajian. Kami terpaksa menghasilkan filem JanGo 1.0 di Malaysia,” katanya.

Tambah Saraleana lagi, apa yang menarik, JanGo juga mengetengahkan beberapa unsur komedi antara budaya Melayu dan Cina di Malaysia.

Malah, katanya, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan syarikat produksi Hong Kong kerana projek itu menonjolkan campuran budaya dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Saya mahu pelakon Malaysia diberi peluang mengetengahkan bakat ke luar negara terutama di Hong Kong dan China.

“JanGo dianggap suatu peluang untuk menarik penonton antarabangsa. Dengan pendekatan ini, ia membolehkan kita mencapai matlamat membawa karya dari Malaysia ke peringkat global,” katanya pada majlis pelancaran filem JanGo, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saraleana juga meluahkan rasa yakin untuk menghasilkan filem JanGo 2.0 meski sedar naskhah yang pertama juga belum tentu dapat meraih kutipan yang memberangsangkan daripada penoton.

Ini kerana kata Saraleana, formula yang mereka gunakan dipercayai mampu menarik minat penonton untuk menyaksikan filem ini kerana masyarakat tempatan gemar dengan naskhah berbentuk komedi.

“Genre filem ini adalah komedi dan aksi. Jadi,saya percaya, ia boleh diterima dengan baik di seluruh dunia. Di mana-mana sekali pun, pasti orang suka akan naskhah komedi, untuk hiburan.

“Sebelum ini, jika kita tengok komedi di Malaysia, ia membabitkan Melayu sahaja. Sama juga dengan filem komedi Cina. Namun, menerusi filem JanGo, kami mahu campuran komedi Melayu dan Cina. Jadi, pelakon Cina yang dipilih dalam filem ini boleh bercakap dalam bahasa Melayu.

“Joey dan Khir akan bertutur bahasa Cina untuk menceritakan bagaimana kita hidup dengan dua kaum ini. Macam filem Rush Hour yang menggabungkan pelakon Cina dan kulit hitam. Jadi, kami yakin filem JanGo boleh diterima dengan baik,” katanya.

Selain Khir dan Joey, filem JanGo turut mengetengahkan pelakon Cina yang cukup popular di Singapura, Zhang Yaodong dan Chris Tong.

Bagi Saraleana, meletakkan barisan pelakon yang sesuai juga memainkan peranan penting untuk membawa filem tempatan ke peringkat global.

Sehubungan itu, dia yakin gabungan empat pelakon terbabit boleh membawa filem JanGo ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau hendak bawa karya ke peringkat global, kita tak boleh menggunakan pelakon sama. Perlu campur dan ketengahkan pelbagai pelakon dengan pelakon berpengalaman dan baharu perlu seiring,” katanya.

Bakal diarahkan sutradara berpengalaman, CL Hor, filem JanGo mula menjalani penggambaran di Lembah Klang, sejak 9 Mei lalu.

JanGo mengisahkan dua sahabat karib yang bekerja di ladang durian. Suatu hari, mereka membuat keputusan

meninggalkan kampung halaman demi kehidupan lebih baik di kota.

Secara tidak sengaja, mereka ditawarkan dua ketua agensi perisikan untuk menjadi ejen rahsia dan melakukan misi ke China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya