PETALING JAYA : Bapa kepada penyanyi, Sharifah Zarina, Allahyarham Wan Hasan Syed Jamil Alqadiri Aljilani telah menghembus nafas terakhir, malam semalam.
Berita duka tersebut dikongsikan penyanyi lagu Langit Ketujuh itu menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun Instagram.
Menurut Sharifah, bapanya telah meninggal dunia sewaktu ingin menunaikan solat Isyak di sebuah masjid.
Dalam pada itu, dia memohon agar orang ramai mendoakan buat arwah bapa tercintanya.
“Assalamualaikum, saya baru dapat khabar berita ayahanda saya telah kembali ke Rahmatullah.
“Malam tadi semasa bapa saya berada di masjid untuk menunaikan solat Isyak dan tarawih, arwah rebah ketika solat sunat. Mohon kalian semua doakan untuk abah saya,” katanya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet dan rakan artis mengucapkan salam takziah buat penyanyi tersebut selain menitipkan semangat agar kekal tabah.
“Salam kakak, Anju ucapkan takziah buat kakak sekeluarga. Kekal tabah kakak,” komen pelakon Zarina Anjoulie.
“Moga kakak dikurniakan kekuatan untuk lalui ujian ini. Allahumarghfirlahu Warhamhu Wa’afihi Wa’fu
Anhu… SubhanAllah,” komen pelakon Lisa Surihani.
Difahamkan jenazah Allahyarham dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut sebelum urusan pengebumian selepas solat Jumaat hari ini.