Penggiat seni dipandang kurang penting? - Utusan Malaysia

Penggiat seni dipandang kurang penting?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Realitinya, masih wujud segolongan pihak yang memandang dunia hiburan sebagai bidang yang kurang penting dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat dan negara. Ini adalah hakikat yang amat menyedihkan yang berlaku dalam negara membangun, seperti Malaysia.

Ada berpendapat, peranan pelakon atau penyanyi itu masih di belakang jika dibandingkan dengan bidang pekerjaan lain seperti doktor, peguam, saintis, jurutera dan banyak lagi. Kononnya seni ini bidang main-main yang tiada nilai profesionalisme.

Namun hakikatnya, sektor seni adalah antara industri yang paling cepat berkembang, yang mencakupi segala kepakaran. Namun mengapa masih ada berfikiran dangkal dan terkebelakang, memandang industri hiburan atau pekerjaan seorang artis itu sebagai perkara enteng? Ikuti pandangan penggiat seni berkenaan isu ini dalam kupasan Hangat Seminggu kali ini.

Nanti perlukan artis juga – Soo Wincci

Tuding jari sana sini demi keuntungan dan kepentingan diri sendiri. Golongan artis sering dianak tiri. Mereka beranggapan, penghibur tidak membawa imbuhan kepada negara.

Penyanyi dan pelakon, Dr. Soo Wincci tidak menafikan senario itu berlaku malahan di luar negara juga.

Jelasnya, kesenian adalah sektor berkepentingan dalam menyalurkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi.

“Sejujurnya sentiasa kita (golongan artis) pasti menjadi yang pertama dibuang. Saya faham terutamanya di negara sendiri. Tetapi, industri seni juga penting. Bahkan sebenarnya semua profesion penting.

“Kalau lihat di luar negara, semua turun padang berganding bahu. Semua tolong kayuhkan kapal agar tidak karam.

“Dari sudut lain. Tengok keadaan sekarang, sepatutnya semua industri kena sepakat dan senada. Sebab bila ekonomi sudah pulih, nanti perlukan artis juga,” jelasnya.

Mengulas lanjut berkenaan keperluan artis dalam ekonomi, katanya, komuniti artis ada peranan tersendiri untuk sama-sama memajukan negara. Artis selalu tampil mempromosikan budaya dan kesenian dan mengangkat agenda tertentu.

Dalam masa sama, Soo Wincci menegaskan, kelompok artis perlu ada pelan B yang mana mampu menghasilkan pendapatan tambahan.

“Saya sarankan artis perlu ada alternatif. Perhatikan artis luar negara sudah ada kesedaran kepentingan akademik, sebab tiada pilihan lain selain untuk kelestarian untuk masa depan,” katanya.

Ditanya andai diberi pilihan berhubung kerjaya mana perlu dibuang kerana seakan-akan tidak berperanan, ini jawapannya.

“Jangan cakap buang, saya sendiri akan terjun dulu (tertawa). Sebab itu saya ke Sepanyol sebab sudah nampak peluang dan cuba secara sukarela.

“Satu hari saya pasti akan berenang semula ke kapal sendiri (simbolik kerjaya di hiburan),” jelasnya yang masih melanjutkan pengajian Falsafah Kedoktoran dalam bidang Artistik Produksi di University of Polytechnic, Sepanyol.

Tak suka tuding jari, lebih gemar tanya diri sendiri – Que Haidar

Bagi pelakon berbakat besar, Que Haidar pula, ada alasan tersendiri mengapa masyarakat meletakkan kedudukan artis atau selebriti tidak penting dalam komuniti.

Que berkata, seorang anak seni haruslah menggalas tanggungjawab sebagai figura yang dikenali bukan sekadar hiburan, malah dapat memberi sesuatu kepada masyarakat.

Namun, pelakon filem Lagenda Budak Setan ini menyifatkan segelintir yang popular, lupa menggunakan ‘tiket’ sebagai orang berpengaruh untuk mempengaruhi orang ramai dalam membina komuniti yang lebih baik.

“Kalau mereka menggalas tanggungjawab sebagai anak seni dan orang berpengaruh, bukan setakat hiburan sahaja malah semakin dikenali, tanggungjawab yang digalas itu semakin besar.

“Silapnya kepada kita. terutama yang sudah popular, mereka lupa bagaimana untuk mempengaruhi masyarakat dalam membina komuniti yang lebih baik dan sensitif.

“Tanya pada diri kita sebagai seorang anak seni, apa yang kita sudah lakukan dengan kerjaya dan pengaruh untuk membina kerjaya seni yang sihat. Bukan setakat hiburan malah beri semula kepada masyarakat,” katanya.

Pelakon filem Rock Oo! ini juga tidak gemar menuding jari, malah dia akan bertanya semula kepada diri sendiri apa silapnya sehingga mereka mempunyai pemikiran sebegitu.

“Saya tidak suka nak menuding jari kepada masyarakat, saya lebih gemar untuk bertanya kepada diri apa silap kita sebagai anak seni.

“Apabila majoriti berpendapat anak seni tidak penting, ia berbalik semula kepada diri kita sebagai anak seni apa yang membuat mereka berfikiran sebegitu. Kita juga harus tanya semula apa silap kita sehingga masyarakat memandang kita sebegitu.

“Saya tidak menyalahkan masyarakat berfikiran seperti itu, saya akan salahkan diri sendiri. Tidak perlu menuding jari kepada mereka,” tegasnya.

Jangan rendah-rendahkan artis atau selebriti – Amira Othman

Penyanyi dan pelakon, Amira Othman pula berpendapat, profesion sebagai artis sama ada penyanyi mahupun pelakon mempunyai peranan dan tanggungjawab besar terhadap masyarakat.

Justeru, penyanyi lagu Hati-Hati itu berkata, tidak adil sekiranya ada pihak yang merendah-rendahkan pekerjaan sebagai anak seni dengan meletakkan profesion tersebut dalam kategori tidak penting kepada pembangunan negara.

“Jangan rendah-rendahkan artis atau selebriti. Golongan ini besar peranannya kepada komuniti. Contoh,Heliza Helmi. Dia seorang artis. Tetapi pada masa sama dia juga seorang ikon kemanusiaan yang pergi merata tempat, membantu orang ramai dan menyebarkan kebaikan.

“Banyak lagi artis yang melakukan perkara sama. Cuma ramai masih tidak nampak atau menidakkan peranan artis itu dalam masyarakat. Jadi, pada pandangan saya, itu tidak adil. Untuk masyarakat memansuhkan artis itu daripada kumpulan golongan yang berperanan besar kepada negara dan bangsa adalah tidak wajar. Saya percaya, lain artis, lain jasa mereka,”katanya.

Dalam pada itu, Amira juga tidak bersetuju dengan persepsi sebilangan pihak dalam masyarakat yang hanya memandang negatif seorang pelakon dan penyanyi itu.

“Tidak adil untuk kita nilai artis itu dengan satu pandangan sahaja. Kena berlapang dada. Saya tidak bersetuju dengan persepsi negatif yang sering dilemparkan terhadap artis.

“Dahulu, ketika di awal pembabitan dalam bidang ini, saya sering mahu puaskan hati netizen. Akhirnya, saya rasa tertekan gara-gara ingin memuaskan hati semua orang.

“Sebab itu sekarang ini saya tidak kisah. Dalam satu kelompok, ada yang membenci kita. Tetapi selebihnya ada juga suka. Cuma masalahnya, kita selalu terbaca perkara-perkara negatif, cakap-cakap orang yang tidak berkenan dengan kita,” katanya lagi.

Tak ada orang yang tak penting atas dunia ini – Faizal Ismail

Bagi Faizal Ismail, dia percaya setiap individu dan hamba Allah SWT yang berada di dunia ini mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dan kerana itu tidak adil untuk melabel mana-mana golongan sebagai tidak penting.

Kata Faizal, persepsi negatif terhadap golongan artis dan selebriti seperti itu seharusnya dikikis kerana pada masa kini, banyak contoh di depan mata bagaimana artis juga mampu membentuk dan memberi pengaruh baik kepada masyarakat.

“Tidak ada orang yang tak penting atas dunia ini, termasuklah golongan artis. Zaman sekarang, kita tengok, artis pun boleh menjana ekonomi negara selain diri sendiri. Malah, membantu membentuk masyarakat sekeliling juga.

“Paling penting, bagaimana Allah SWT takdirkan sekarang ini ramai sangat artis berada di jalan dakwah, di jalan kebajikan. Maknanya apa? Allah SWT nak tunjuk kepentingan golongan ini,”katanya.

Kongsi Faizal, ramai dalam kalangan artis dan selebriti kini menggunakan medan populariti kepada arah kebaikan dan kebajikan dan ia telah pun membuka banyak mata.

“Bukannya kami ini pakat-pakat masuk tabligh untuk menunjuk. Masing-masing dengan jalannya, saya dengan jalan saya. Tiba-tiba golongan ini menjadi semakin ramai dan itu mungkin adalah satu cara bagaimana Allah nak memuliakan golongan anak seni.

“Cuma, sebagai rakan artis, kita harus saling berpesan agar usahlah pula mereka yang berubah ini hidup berbangga diri dan berasa hebat.Ini juga satu ujian. Yang penting, kena kekal istiqamah dan betulkan niat selalu.

“Kena ingat, adakala ramai yang berilmu pun boleh terpesong niatnya kerana dapat nama dan kemahsyuran. Kelebihan artis pula, orang macam kami ini sudah lalui zaman glamor dulu, sekarang rasa nak berbakti dan menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat pula,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya