KUALA LUMPUR : Primadona filem tanah air, Erra Fazira, 47, menganggap tiada salah jika jodohnya selepas ini merupakan seorang lelaki bukan berbangsa Melayu andai begitu takdir yang sudah tertulis buat dirinya.
Menurut Erra, ini kerana dari satu sudut, sesebuah perhubungan yang terjalin dengan seseorang yang bukan Muslim mungkin mampu menjadi asbab untuk mereka ingin mengenali dan mendalami agama Islam dengan lebih dekat.
“Saya tak ada masalah untuk berkawan atau berkahwin dengan bangsa lain, tak pernah sekat pun.
“Saya sentiasa alu-alukan walaupun jika jodoh yang datang bukan dalam kalangan Melayu.
“Saya anggap sesiapa pun bukan Muslim yang mahu mendekati saya adalah kerana mereka mahu mendalami agama Islam,” katanya.
Selain itu, jelas Erra, mungkin juga seseorang berlainan bangsa mendekati dirinya kerana mereka berminat untuk mendalami budaya yang berbeza.
“Ya, barangkali boleh jadi, mana-mana lelaki bukan Melayu yang mendekati saya kerana mahu mendalami budaya kita,” katanya.
Erra berkata demikian pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Kongsi Raya di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur kelmarin.
Naskhah itu berkisahkan percintaan berlainan bangsa iaitu Melayu dan Cina yang mendapat tentangan ibu bapa masing-masing.
Filem arahan Teddy Chin itu akan memulakan tayangannya di pawagam di seluruh tanah air sempena Tahun Baru Cina pada 3 Februari ini.
Sementara itu, Erra juga mengaku bahawa sebelum ini dia memang pernah bercinta dengan seorang lelaki bukan berbangsa Melayu.
“Berkenalan itu ada tapi tidak sampai ke fasa berkahwin,”katanya.
Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam filem arahan Teddy Chin, Erra berkata, dia menerima tawaran tersebut kerana ingin menimba pengalaman berlakon di bawah produksi bukan Melayu.
Katanya, dia kagum dengan disiplin yang diterapkan oleh pihak produksi terutama membabitkan jadual bekerja.
“Saya kagum sangat dengan disiplin mereka. Ini adalah pertama kali saya bekerja di bawah produksi Cina sebelum ni dah pernah bekerja bawah produksi India.
“Waktu penggambaran akan habis tepat pada masanya, kalaulah produksi kita pun begitu, pasti industri kita akan lebih meriah.
“Selain tu, cara Chan mengarah juga berbeza, saya rasa mungkin kita boleh ciduk sedikit cara mereka dan mereka pun boleh ambil perkara yang positif dari kita,” katanya.