Jadi bapa tunggal memang kena belajar memasak - Aznil Nawawi - Utusan Malaysia

Jadi bapa tunggal memang kena belajar memasak – Aznil Nawawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selebriti serba boleh dan pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi, 59, mendedahkan, tanggungjawabnya sebagai seorang bapa tunggal kepada tiga anak, bukanlah mudah meskipun anak-anak mungkin sudah membesar.

Katanya, dalam soal menguruskan keperluan dan kebajikan anak-anak, sebagai seorang bapa, kemahiran memasak juga adalah satu daripada nilai tambah yang ada pada dirinya sejak bergelar bapa tunggal.

“Apabila jadi bapa tunggal kenalah belajar memasak. Dulu masa zaman bujang, kemahiran itu mungkin terbatas. Tapi sekarang kalau diminta masak menu itu dan ini, mungkin saya bolehlah siapkan.

“Tambah pula, memasak sekarang tak perlukan kemahiran sangat sebenarnya. Konsep letak bahan dan campur diperlukan dalam mesin, siap dan boleh dimakan. Teknologi ada pada masa kini bukan?

“Sejak Mei tahun lalu saya dilantik jadi duta jenama kelengkapan dapur dan barang elektrik jenama Nakada, lagi tambah senang kerja dan hidup ini,” katanya.

Menurut bapa kepada Fildza Haifa 32, Fariq Haizen, 27 dan Firdaus Hariz, 13, ini, pembabitannya sebagai duta jenama itu juga bukanlah kerana dia melobi, tetapi bersama-sama berhasrat mahu membantu meningkatkan kesedaran ramai terhadap barangan tersebut.

“Bahkan saya juga akur pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu memberi kesan kepada ramai orang. Ia termasuk dalam aspek perbelanjaan ekonomi.

“Justeru, saya berbincang dengan pihak mereka untuk mengadakan sesi belian harga istimewa. Permintaan itu diperkenankan dan sekali gus membolehkan orang ramai memiliki barangan jenama itu dengan harga runtuh.

“Setiap minggu atas kapasiti sebagai duta, saya akan buat satu jam sesi siaran langsung di media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok. Dalam tempoh itu belian harga duta membolehkan pengikut media sosial membeli barangan jenama itu dengan potongan diskaun hingga 70 peratus,” katanya.

Jika di Malaysia, Pak Nil menjadi pilihan. Namun di pasaran Hong Kong, posisi duta sama diambil selebriti Kiki Sheung sejak lebih 10 tahun lalu.

“Kebetulan ketika saya mencari butiran mengenai dirinya (Kiki), kami sebaya berusia 59 tahun.

“Ternyata jenama ini lebih memilih artis senior berbanding budak baru nak ‘up’ (BBNU). Pengalaman itu lebih mahal nilainya. Saya juga anggap ini rezeki di era pandemik,” katanya.

Dalam pada itu, menurut pengasas Nakada Group (M), Datuk Yap Kok Heng dan Datuk Kok Siang, pemilihan Aznil sebagai duta dilihat relevan dengan jenama tersebut.

“Kami mempunyai sebab konkrit memilihnya sebagai duta. Bagi kami, Aznil mempunyai imej yang sihat, ceria, peramah, suka memasak, menjaga kesihatan dan tubuh badan.

“Lalu minat dan dedikasinya itu bertepatan dengan produk yang syarikat kami pasarkan. Dia masih kekal relevan memikat hati ramai orang dalam bidang tugas dilakukan. Hatinya juga sangat murni kerana sentiasa mahu membantu mereka yang memerlukan.

“Lihat saja ketika era pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu dan musibah banjir, beliau antara yang tak betah duduk diam. Sebaliknya mahu membantu dengan menggunakan populariti dan kelebihan yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, kata Yap Kok Siang, pihaknya akur era pandemik turut memberikan cabaran tersendiri kepada syarikat untuk terus bernyawa.

“Cabaran paling hebat kami lalui bukan pada tahun pertama pandemik (2020). Sebaliknya cabaran sebenar datang melanda awal tahun lalu di mana ramai yang menganggur, kos penghantaran naik dengan mendadak dan kenaikan kos bahan mentah.

“Pelbagai bidang ekonomi dalam negara terjejas. Syarikat kami tidak terkecuali. Namun kami tidak mahu mengalah, bahkan bertekad akan terus membawa masuk lebih banyak barangan elektrik yang berteknologi dan bermutu tinggi ke dalam negara.

“Ia diiringi dengan harapan supaya dapat memberi sedikit sebanyak sumbangan kepada perkembangan ekonomi Malaysia pada masa depan,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya