Malaysia teruskan rundingan tarif dengan AS - Tengku Zafrul

Malaysia teruskan rundingan tarif dengan AS – Tengku Zafrul

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas negara itu mengumumkan kadar tarif timbal balik sebanyak 25 peratus yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini.-FB TENGKU ZAFRUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan meneruskan usaha dialog dan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas negara itu mengumumkan kadar tarif timbal balik sebanyak 25 peratus yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pengumuman kerajaan AS dan memahami kebimbangan seluruh pihak di Malaysia.

Beliau berkata, AS merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan merupakan destinasi eksport terbesar dengan jumlah perdagangan pada tahun lalu mencecah RM324.9 bilion.

Oleh itu, jelasnya, hubungan ekonomi antara Malaysia dan AS amat penting kerana ia menyokong peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.

“Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneruskan perbincangan dengan rakan sejawat AS untuk menangani isu-isu yang belum selesai.

“Matlamat kami adalah untuk mencapai persetujuan perdagangan yang seimbang, saling menguntungkan, dan komprehensif,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Presiden AS, Donald Trump dilapor mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini termasuk beberapa negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Tunisia dan Kazakhstan.

Tempoh penangguhan yang diumumkan 2 April lalu itu dijadualkan tamat Rabu ini, namun Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt memaklumkan Trump akan menandatangani perintah eksekutif bagi melanjutkan tempoh berkenaan hingga 1 Ogos.

Tengku Zafrul berkata, langkah sebelah pihak oleh AS itu berpotensi mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan, dan aliran pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Kami komited untuk mencari penyelesaian yang saling boleh diterima yang melindungi kepentingan kedua-dua negara dan rakyat kita.

“Sambil memastikan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala kekal menjadi pemangkin positif kepada pembangunan ekonomi yang mampan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN