Survival, aura dan relevansi: Kavita Sidhu, Jaclyn Victor - Utusan Malaysia

Survival, aura dan relevansi: Kavita Sidhu, Jaclyn Victor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA wanita besi ini bukan calang-calang. Membingkaikan mereka juga merupakan salah satu kebanggaan kami sebagai seorang penulis. Semuanya dilakukan sesempurna mungkin.

Pelawaan kami disambut mesra. Siapa sangka, di kedudukan mereka dalam industri, keduanya senang untuk berurusan. Tiada soseh soseh, keduanya cukup berjiwa hamba. Memudahkan apa yang telah direncana.

Sempena Deepavali yang disambut beberapa hari lepas, kami menggandingkan figura hebat, Kavita Sidhu dan Jaclyn Victor. Siapa tidak kenal mereka. Berjaya dalam lapangan berbeza namun keduanya punya aura yang sama.

Pertemuan kami sebenarnya secara kebetulan. Saya cuba menghubunginya menerusi Instagram, siapa sangka dia membalas permintaan. Lantas segalanya disusun dan direncana sebaiknya.

Populariti, bakat Kavita

Kehadirannya umpama bidadari. Jelas aura seorang ratu cantik itu. Malah, saya sendiri terpegun melihat keperibadiannya. Baik budi, sopan santun dan berjiwa hamba. Tutur katanya juga lembut manis.

Profil seninya jika dibentang tidak seluas mana. Namun menjadi kehairanan saya apabila namanya masih meniti di bibir peminat. Ditanya siapa kenal Kavita Sidhu, daripada 10 pasti ada lapan yang angkat tangan.

Lantas sengaja saya membuka gelanggang temu bual dengan soalan ini. Apa rahsia survivalnya? Di kala industri dibanjiri pendatang baharu, namanya masih tegak berdiri. Setinggi dirinya juga.

“Rahsia? Mana ada. Mungkin saya selalu memotretkan diri sebagai seorang anak Malaysia. Tidak meletakkan notis kaum atau sebagainya. Saya selalu bercakap bahasa Melayu, jadi mungkin peminat lebih dekat.

“Muka saya tak macam Melayu. Saya pun tahu itu. Jadi watak saya pun terhad. Cuma saya cuba untuk menjayakan sesebuah karakter itu sebaiknya agar lekat di hati peminat tempatan.

“Ada juga tawaran Bollywood dahulu cuma bagi saya, tak mahu lah. Saya tak suka persaingan. Saya orang Malaysia. Memang ada hadnya jika kita bukan orang Melayu, tetapi saya sayang industri ini,” katanya.

Mengangguk setuju tatkala ditanya sukarkah dia untuk sentiasa selari dengan perkembangan seni, Kavita sebenarnya seorang yang cukup berani. Dia tahu media sosial adalah kunci untuk kekal relevan.

“Susah sebenarnya untuk kita sentiasa up to date dengan trend terkini. Tetapi kita sedar, itu adalah kepentingan. Cuma jangan terlalu mengejar populariti di laman sosial semata tanpa bakat.

“Ramai anak muda yang bermula sebagai pelakon berdasarkan jumlah pengikut di Instagram. Tetapi bila di set penggambaran, main handphone, tak berlatih dan sekadar hadir tanpa persediaan.

“Sebagai produser, saya tak mahu menyalahkan mereka sepenuhnya. Industri perlu ubah stiga. Bukan populariti yang sepatutnya jadi taruhan, tetapi bakat. Jangan rosakkan industri kita,” ujarnya.

Rahsia cantik, muda

Tidak mahu terus serius membincangkan isu industri, saya membawa perbualan ke arah yang lebih santai.

Satu lagi tangga usia ke angka 50, Kavita kelihatan muda. Dia seperti tidak dimamah usia. Persis kehadirannya ke dalam industri 30 tahun yang lalu. Maka, soalan yang wajib diajukan, apa rahsia kekal muda?

Ketawa terlebih dahulu menyambut soalan itu. Dia mengambil masa juga untuk menyusun. Tak habis dilontarkan terima kasih dan rasa terharu apabila ada yang mengagumi kecantikannya.

“Semestinya di usia ini, penampilan harus dijaga rapi. Apatah lagi, saya membawa diri sebagai seorang anak seni dan bekas ratu cantik. Saya juga suka dengan dunia fesyen dan kecantikan.

“Bagi saya, paling penting adalah daya fikir diri. Kita kena mencintai diri sendiri. Tidak perlu mencuba menjadi orang lain.

“Terutama di kala kita berdepan dengan situasi mencabar kini. Ramai yang terkesan. Saya tak mahu menngejar apa-apa. Cuma mahu menikmati apa adanya. Menjadi diri sendiri,” ujarnya.

Ditanya apakah perancangannya untuk tahun hadapan, nada isteri kepada usahawan kelahiran Itali, Roberto Guiati bertukar teruja. Dia seperti tidak sabar untuk meluahkan rahsia yang terpendam.

Ya, rakan pembaca sekalian, Pontianak Harum Sundal Malam 3 bakal menghantui hidup anda. Kavita juga bakal beraksi di layar perak selepas hampir lapan tahun ‘menyepi’. Itu satu khabar yang cukup menggembirakan.

“Kami bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi. Sepatutnya sudah mula, tetapi disebabkan pandemik semuanya terpaksa ditangguhkan. Tajuk belum ada. Tetapi Maya akan kekal sebagai pontianak.

“Saya juga selain produser akan berlakon. 16 tahun kami menunggu, akhirnya Pontianak Harum Sundal Malam akan kembali. Doakan agar segala perancangan berjalan lancar ya,” pintanya.

‘Kelainan cara saya’ – Jaclyn Victor

Kira-kira 18 tahun lalu, penyanyi ini muncul juara Malaysian Idol pertama. Kemenangannya diibaratkan seperti kejayaan seorang atlet meraih pingat emas di sukan Olimpik. Keterujaan peminat waktu itu, luar biasa.

Ketika itu Malaysia bersorak mengalu-alukan Jaclyn Victor, figura bersuara ‘emas’ yang menggegarkan industri dengan lagu Gemilang yang menjulang namanya di persada seni, dalam dan luar negara.

Kini, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor kekal permata seni negara. Bakat luar biasa yang tetap dihargai, disanjung dan dijadikan inspirasi kepada ramai penyanyi lama dan baharu.

Namun, untuk kekal di kedudukan sekarang tidak mudah. Kerja keras, bergolok gadai dan mencurah keringat. Itu pengorbanan Jac yang jarang diceritakannya kepada umum.

“Saya lega. Menang Malaysia Idol, diterima baik dan kemudian bertahan dalam industri yang majoritinya orang Melayu.

“Tawaran menyanyi tidak putus. Contoh sekarang. Ketika sebelum ini industri ditutup gara-gara pandemik, semua saya buat. Lagu Baik Semula, Demi Malaysia, Aktif Negaraku, saya nyanyi walaupun tak ada lagu sendiri.

“Saya perlu menyanyi untuk terus didengari dan saya kena bekerja lebih kuat untuk kekal bertahan,” katanya.

Apabila diminta mengulas tentang kedudukan dalam industri, Jac memberikan pandangannya yang tidak disangka-sangka.

Katanya, dia adalah dirinya sendiri, yang hadir dengan seni suara dan kemampuan tersendiri. Jadi tidak timbul soal ‘menjadi orang lain’.

“Setiap penyanyi ada kelebihan masing-masing. Contohnya Ziana Zain, seorang penyanyi yang mempunyai vokal menakjubkan dengan ‘kening terangkat’. Ning Baizura pula ada ciri nyanyian yang distinct (berbeza).

“Mungkin kelebihan saya terletak pada lagu Gemilang atau gaya ‘tarik’ mikrofon atas kepala itu. Entahlah, saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Itu bukanlah perkara luar biasa, tetapi kelainan cara saya,” kongsinya.

Identiti, persaingan

Bagi Jac, identiti adalah segala-galanya. Saranannya kepada penyanyi baharu, jadilah diri sendiri dan serahkanlah keunikan yang ada.

“Tak perlu jadi Ziana Zain atau Datuk Seri Siti Nurhaliza, tak payah pun. Jangan buang masa. Mereka sudah berada di kedudukan  tersendiri.

“Jadi, sudah tentu nyanyian saya tidak kedengaran seperti mereka dan saya tidak miliki apa yang mereka ada.

“Bukan nak kata ada satu sahaja Jaclyn Victor, tetapi kami semua benar-benar berbeza,” ujarnya.

Kata Jac lagi, dia tidak pernah tergugat dengan kelebihan penyanyi-penyanyi lain. Jelasnya, apa pun juga, setiap penyanyi itu tetap berbeza dan harus diberi peluang untuk mewarnai industri.

“Hanya kerana saya boleh menyanyi nada tinggi, tak semestinya tak ada penyanyi lain yang boleh menyanyi nada yang lebih tinggi daripada saya.

“Lain orang, lain citarasa. Saya tidak pernah runsing untuk memikirkan macam mana nak bertahan atau bersaing. Saya rasa saya bertuah kerana dikurniakan kebolehan sendiri dan sentiasa ada lagu-lagu baharu yang dapat saya kongsikan kepada peminat.

“Walaupun industri kita kecil, tetapi ia masih cukup besar untuk memuatkan ramai penyanyi yang mempunyai kelebihan masing-masing. Letaklah saya, Ziana Zain, Aina Abdul, Ernie Zakri, Dina Nadzir dalam satu aras yang sama. Walaupun range kami hampir sama, tetapi ciri suara kami berlainan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya