Aduhai klisenya watak wanita di Malaysia - Utusan Malaysia

Aduhai klisenya watak wanita di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, pelakon bertaraf pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) 2005 dan 2006, Sharifah Amani, ada menyuarakan di media sosial bahawa drama tempatan kita ini terlalu sering memotretkan kaum wanita pada sisi watak yang dianiaya dan ditindas.

Pandangan pelakon berbakat besar itu barangkali ada benarnya kerana realiti di kaca televisyen, memang itulah yang dipaparkan. Wanita itu golongan yang lemah, tidak cekal, wanita itu tidak berdaya untuk bangkit melawan penganiayaan yang dilakukan kaum lelaki.

Sesekali terfikir juga, adakah memang itu yang diinginkan oleh penonton atau realitinya di negara ini, wanita memang masih menjadi golongan yang ditindas sehingga kisah seperti itu dianggap layak untuk dikomersialkan di layar?

Atau, sebenarnya peperangan seksis sudah terlalu biasa dilihat atau menjadi nilai keutamaan buat para pembikin karya tempatan untuk diangkat menjadi jalan cerita yang mudah dijual bermodalkan yang sama?

Berikut ialah pandangan beberapa pengkarya tanah air berhubung isu yang dilayangkan.

Tak semua watak wanita asyik ditindas – Siti Rosmizah

Popular dengan karya-karya novelnya yang dibawa ke kaca televisyen, penerbit dan penulis popular, Siti Rosmizah Semail, bagaimanapun tidak bersetuju dengan segelintir pendapat berhubung isu ini.

Bagi Rosmizah, tidak semua watak wanita dalam drama tempatan digarap dengan elemen penganiayaan dan penindasan semata-mata memandangkan terdapat juga naskhah lain yang dilihat memperkasakan golongan wanita.

“Saya tak setuju. Bukan semuanya berkisar mengenai penindasan atau aniaya. Sebagai contoh drama terbitan saya sendiri yang hampir semua menjadi fenomena. Betul, ia berkisar nasib wanita tetapi buka minda kita pada skop yang lebih luas.

“Berapa ramai yang mampu kita sedarkan dari karya itu tentang bagaimana wanita yang ditindas dan dianiaya,bangkit semula. Sebab kita kena tahu apa yang dicoret itu adalah realiti hidup yang terjadi di luar sana yang perlu untuk kita buka mata dan minda masyarakat iaitu penonton untuk jadi rakyat prihatin pada nasib orang lain.

“Tapi dalam masa yang sama kita tetap seimbangkan dengan watak hero yang menjadi tarikan pada cerita,”katanya.

Selain itu, kata penerbit drama popular 7 Hari Mencintaimu ini, perkara ini juga berkait rapat dengan usaha menarik rating di stesen televisyen.

“Kita kena ingat drama adalah satu produk komersial yang perlu untuk tarik rating. Menerusi rating tv, ia akan ada pengiklan, selalunya kesedihan mana yang lebih membuai jiwa kita? Nasib wanita atau lelaki, mana lebih sedih?

“Penonton akan lebih meruntun hati bila berkait dengan tiga perkara iaitu wanita, kanak-kanak dan ibu. Sebab itu kisah kesedihan bapa pun kurang dapat tarik hati penonton berbanding sedih ibu.

“Kita bukan nak jadikan nasib atau derita wanita ini sebagai objek untuk lariskan drama tapi itulah realiti kehidupan di luar sana. Tak salah drama ini ditayang, asal ada mesej dan tauladan pada kita semua daripada kita tayang cerita yang kosong isinya,”katanya.

Lebih utamakan watak dominan – Janna Nick

Pelakon ternama, Janna Nick mendedahkan dia sering mengutamakan tawaran untuk melakonkan watak yang lebih dominan berbanding watak wanita lemah.

Katanya, dia sebolehnya menolak melakonkan watak wanita ditindas mahupun teraniaya meskipun sering menerima watak jenis itu.

“Tidak dinafikan, saya lebih banyak menerima tawaran melakonkan watak seperti itu. Contoh dalam lapan skrip yang ditawarkan, dua sahaja yang meminta saya membawa watak dominan.

“Saya agak jelak menerima skrip yang sama. Iaitu watak wanita lemah, miskin bertemu lelaki kaya dan sebagainya. Sebolehnya saya akan menolak.

“Sebab itu, saya sinonim dengan watak yang lebih dominan,” katanya.

Katanya, lambakan skrip dan penceritaan drama atau filem yang sama adalah disebabkan permintaan penonton yang tinggi terhadap jalan cerita tipikal.

Oleh itu katanya, penonton memainkan peranan dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap corak penyampaian dan penceritaan sesebuah drama yang ditayangkan di televisyen.

“Industri kita ada kemajuan. Cuma kita perlu menerima hakikat bahawa apa yang disajikan itu masih bergantung kepada kehendak penonton.

“Tidak dinafikan, ada juga drama yang menampilkan idea penceritaan yang segar. Tetapi jumlah tontonan yang diterima agak rendah.

“Jadi saya berharap penonton dapat gunakan pengaruh mereka dan juga berikan sokongan yang tinggi buat drama atau filem yang menampilkan penceritaan dan watak yang berbeza,” jelasnya.

Wajib watak itu diberikan kekuatan – Afiza Asram

Bagi penulis skrip dan pengarah, Afiza Asram pula, dia tidak bersetuju dengan drama atau pun filem yang menjatuhkan wanita.

Menurut pandangannya, meletakkan wanita sebagai subjek yang lemah dan tertindas ini sudah menjadi formula biasa tetapi wajib watak itu wajib diberikan kekuatan.

“Selain itu, suntik juga dengan kejayaan di akhirnya kerana wanita masa kini lebih mandiri dan berani.

“Menjadikan wanita sebagai subjek untuk ditindas dan bahan seksual ini bukan sahaja bersifat negatif malah membunuh harapan anak gadis yang sedang membesar menjadi wanita dan wanita yang sedang menderita,” ujarnya.

Justeru, Afiza selaku yang mempunyai “kuasa” di kerusi penulis skrip dan pengarah berusaha mengambil pendekatan untuk menghasilkan lebih banyak karya yang memaparkan sisi wanita sukses dan berani.

“Saya perlu menghasilkan lebih banyak karya-karya yang mengangkat wanita sekali gus mendidik penonton untuk menonton dan menerima filem serta drama yang memperkasakan wanita,” jelasnya tegas.

“Tidak mengapa nak tunjukkan kelemahan tetapi perlu seimbang”- Que Haidar

Menurut pelakon tersohor tanah air, Que Haidar pula, tiada masalah pemain industri memainkan watak seorang wanita teraniaya atau lemah untuk disajikan kepada masyarakat.

Jelas Que, itu adalah salah satu cara untuk memberi inspirasi kepada penonton. Namun, sebaiknya setiap naskhah haruslah seimbang dan variasikan sesebuah jalan cerita agar tidak menampilkan plot yang sama sahaja kepada penonton.

“Saya sebenarnya suka naskhah yang memberi inspirasi kepada orang. Banyak kisah-kisah benar yang boleh diangkat. Tidak mengapa nak tunjukkan kelemahan tetapi perlu seimbang kerana dengan kelemahan kita boleh belajar sesuatu.

“Sebagai penonton, kita tidak mahu menjadi lemah seperti karakter yang disajikan. Namun, Jika kita asik berpusing dalam bentuk karya yang sama, kita perlu tanya semula kepada diri adakah ini wajah kita.

“Hal ini kerana, apa-apa karya yang ditayangkan, ia mencerminkan pemikiran masyarakat kita. Apabila naskhah selalu menonjolkan sisi kelemahan wanita, jika tiada variasi ia bukan perkara yang bagus untuk memberi pengajaran kepada penonton,” ujarnya ketika ditemu bual.

Mengatakan pendapatnya lagi, pelakon filem popular Rock itu berpendapat pihak produksi tidak boleh sekadar untuk mengaut keuntungan sahaja dengan jalan cerita yang sama terutama menampilkan sisi wanita lemah.

Namun, seeloknya mereka perlu lebih peka memainkan peranan dalam menyeimbangkan sesebuah plot cerita agar dapat melihat variasi naskhah tempatan, pada era kini.

“Penonton kini bijak, tanggungjawab pemain industri untuk memastikan penonton mendapat apa yang terbaik dari kita. Kita perlu set apa karya yang ingin ditonjolkan kepada mereka. Kita dalam industri yang memainkan peranan besar untuk memastikan apa yang terbaik buat masyarakat.

“Bukan sekadar mencari keuntungan sahaja. Semua perlu seimbang. Sudah 2021, kita masih ada banyak lagi cerita-cerita yang boleh beri inspirasi para wanita di luar sana untuk menjadi kuat seperti watak yang disajikan di kaca televisyen.

“Lelaki dan wanita saling memerlukan, masing-masing ada kelebihan tersendiri. Pemain industri sendiri perlu lebih peka, terbuka serta faham tanggungjawab,” tutur Que panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya