Setiap sisipan kehidupan manusia tidak pernah sunyi daripada ujian dan cabaran. Kadang kala tanpa cabaran, kita mungkin tidak akan sedar atau kenali potensi diri.
Kumpulan Satwo (disebut satu) yang terdiri daripada pasangan suami isteri, Mazlinna Abdul Malek dan Rafiz Mohamed Zakaria sedar akan potensi mereka ketika perlu mencipta beberapa lagu untuk album baharunya yang akan dikeluarkan pada hujung tahun ini.
“Pada mulanya, produser album kami iaitu Ilham PitaHati, telah mencabar kami untuk mencipta empat buah lagu dalam masa seminggu bagi melengkapkan album kami itu.
“Kami menyahut cabaran itu tetapi setelah beberapa hari mencuba kami gagal dan rasa sangat tertekan sehingga demam. Yang ajaibnya, pada hari keenam, kami mampu menyiapkan empat buah lagu dalam masa sehari sahaja,” kata Rafiz yang berusia 40 tahun kepada Pancaindera.
Bukan calang-calang orang mampu mencipta empat lagu dalam masa yang singkat. Setelah selesai, mereka terus menghantar demo itu kepada penerbitnya, Luncai Emas yang kemudiannya diluluskan untuk dikeluarkan dalam album baharunya.
Bagi yang tertanya-tanya siapa Satwo ini sebenarnya, mereka telah memperkenalkan diri mereka kepada dunia dengan single berjudul Untok Kita yang bergenre folk rock atau psych pop dan seterusnya mengeluarkan single kedua yang bertajuk Gelap.
Maz yang merupakan pianis dan vokalis kedua dalam kumpulan itu memberitahu, keistimewaan Satwo ialah dari segi pembawakan vokal mereka apabila vokal utama iaitu Rafiz sentiasa diiringi vokal harmoni oleh Maz.
Jelas Maz kebanyakkan gaya mereka menyerupai gaya kumpulan The Beatles yang sentiasa berharmoni.
Kumpulan itu berharap, orang ramai boleh menerima gaya dan genre lagu mereka yang unik dan berbeza daripada muzik yang biasa didengari sekarang.
“Kami juga akan mengeluarkan produk dan aksesori sempena lagu Gelap dan akan berkolaborasi dengan jenama tempatan The Bucks.
“Muzik video lagu terbaharu kami iaitu Gelap boleh didapati di saluran YouTube Luncai Emas. Manakala lagu-lagu kami boleh didengari di semua platform digital,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kumpulan yang berpotensi itu menerusi media sosial Instagram, Facebook dan Twitter satwomusic.










