Rempitkah rap Abubakarxli? - Utusan Malaysia

Rempitkah rap Abubakarxli?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA sesuatu yang menarik pada personaliti dan imej yang ditonjolkan oleh penyanyi rap muda ini yang senang membawa gelaran Abubakarxli sebagai nama pentasnya dalam industri.

Sesekali seakan mempamerkan sisi seorang individu dalam kelas introvert, malu-malu Abubakarxli bagaimanapun tidak terpancar saat dia mula memegang mikrofon, ‘bersuara’ dalam gaya nyanyian rapnya.

Karya lagu-lagunya juga boleh tahan. Dalam erti kata lain, dia adalah antara penyanyi rap baharu yang harus diberi perhatian dan dilihat berpotensi dengan bakat yang dimiliki.

Cuma, tidak sangka pula ada mata yang sakit, tanda tidak berkenan dengan imej yang dibawa oleh penyanyi ini.

Kononnya, walau bagus mana karya lagu dihasilkan oleh Abubakarxli, hal itu seakan ditenggelami dek paparan imej bak seorang mat rempitnya sekali gus seakan tidak kena dengan gaya lazim penyanyi rap.

Tidak melatah, penyanyi ini membuka mulut saat dilayangkan pertanyaan itu dalam satu sidang akhbar secara maya baru-baru ini.

“Saya tak cakap bangga. Tetapi tak dinafikan memang ada sahaja terdengar orang gelarkan saya begitu. Senang cerita beginilah, di mana-mana negara tentulah ada budayanya yang tersendiri.

“Macam di United Kingdom (UK), mereka ada gaya sendiri. Contohnya gemar memakai seluar jogger dan di Amerika Syarikat (AS) dengan gaya pakai motor misalnya.

“Di Malaysia pula kita ada gaya yang dikatakan rempit itu. Tetapi sejujurnya, saya tak pernah pun merancang untuk membawa sebarang budaya atau imej apa-apa sebab keutamaannya adalah apa pakaian yang saya selesa pakai,” katanya.

Tambah penyanyi berusia 24 tahun ini, dia juga tidak pernah menghalang orang lain melabel cara dan gayanya sebagai penyanyi rap memandangkan perkara itu terlalu subjektif untuk diperdebatkan.
“Kalau pun apa yang saya gayakan ini dikatakan kelihatan macam mat rempit, saya tak marah pun. Terpulang pada pandangan orang bukan?

“Mungkinlah kita boleh katakan, ia salah satu budaya anak muda tempatan. Okey sahaja, asalkan bukan bawaan yang salah,” katanya.

Naik bersama Shalma

Bercerita mengenai perkembangan kerjayanya pula, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Def Jam Malaysia ini teruja dengan penghasilan single terbaharunya yang berjudul Naik, duet bersama si manis Shalma Eliana.

Kongsi Abubakarxli, dia memilih berduet dengan Shalma lantaran sudah lama menyimpan hasrat tersebut selain menganggap hanya penyanyi tersebut yang sesuai menjadi pasangan duetnya menerusi lagu Naik.

“Lagu ini memang sesuai dengan tona suaranya. Ada juga kami cuba cari penyanyi lain sebagai pilihan, tetapi ternyata memang Shalma sahaja yang mengena dengan keseluruhan penghasilan lagu ini.

“Lagipun, kami berdua duduk di bawah satu bumbung syarikat rakaman yang sama, lebih mudah. Bekerjasama dengan Shalma juga bagi saya mudah kerana kami berdua ada keserasian itu dari aspek muzik,” katanya.

Dalam pada itu, kata Abubakarxli, Naik menceritakan tentang apa kemahuannya sebagai seorang pengkarya dan penyanyi rap selain harapannya untuk terus memberikan yang terbaik dalam industri.

Ia juga kata Abubakarxli, begitu dekat dengan situasi semasa yang mencerminkan perasaan keinginan untuk menjadi lebih baik dalam apa jua aspek kehidupan.

“Biasalah, ada kala kita akan rasa hilang semangat, kecewa dan sedih sedangkan hati pula sangat-sangat inginkan sesuatu itu.

“Contohnya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, ramai yang terasa tidak termotivasi,” katanya.

“Pandemik juga membuatkan ramai orang terjejas dari banyak hal ekonomi, pekerjaan, emosi. Saya hasilkan Naik dengan harapan untuk menyuntik sedikit semangat buat semua pendengar agar tidak putus asa dengan kehidupan.

“Saya nak semua pendengar bangkit bersemangat dan tahu bahawa mereka tidak berseorangan ketika sedang berusaha mengubah dan memperbaiki hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya