MENGENALI kumpulan ini, mereka punya cara sendiri. Mungkin dalam pandangan mata segelintir, cara mereka itu cukup senang diterima. Melontarkan apa yang terbuku dalam hati. Pandangan yang mungkin dipandang sepi.
Namun, sebelah pihak pula mengeji cara mereka. Menganggap itu luahan hati yang tidak patut dicanang. Satira mereka menjelikkan. Maka, setiap bait lirik yang disusun itu menyakitkan hati dan perasaan.
Apa pun pandangan, sudah lumrah hidup ada kiri dan kanan. Tidak semua selari berjalan. Tidak semua akan mengangguk setuju mengiakan tiap perilaku. Maka, pasti ada yang akan mengata, mencebik kita.
Tidak berkecil hati hatta terduduk sepi, bagi Drama Band ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Mereka mengkritik dengan cara sendiri. Jika ada yang kurang senang, mereka cuba tumpulkan ketajaman kata.
“Kami suka bereksperimen dalam menghasilkan lagu. Kami melihat sesuatu isu dan menjadikan itu sebagai pesanan khidmat masyarakat. Kami rasa itu sebagai tanggungjawab. Cuma bila ada teguran, kami faham.
“Tak semua akan terima cara kami. Buat masa ini, memang kami sepakat untuk slow down sedikit terutama apabila menghasilkan karya. Kita faham dan dengar apa yang berlaku di sekeliling. Tak pernah menyombong,” kata Aepul selaku vokalis.
Dibarisi Faeez (Dram), Padel (Guitar), Adib (Guitar, Syahmir (Keyboard) dan Daus (Bassist) populariti yang dibina bukan berlandaskan kecaman semata. Mereka tidak pernah menjadikan itu sebagai batu loncatan.
Tidak terlintas untuk menumpang populariti sesuatu isu, bagi Drama Band mereka hanya mengutarakan apa yang berlegar dan menjadi buah mulut ramai. Cuma, ada kalanya pengalaman sendiri juga menjadi asas penghasilan lagu dan lirik.
Tekad untuk terus berkarya, andai mereka dicop sebagai kumpulan ‘panas’ juga tidak akan merencatkan perjalanan. Bagi mereka,jika mesej yang cuba disampaikan diterjemah dengan baik, itu sudah mencukupi.
“Kami akan terus bersama menghasilkan karya yang menjentik rasa dan perasaan orang. Kami mendalami isu-isu rakyat dan dalam pada masa yang sama, kami akan menghasilkan lagu yang selari dengan permintaan peminat.
“Tidaklah semua karya kami kena ada isu panas sahaja. Kami sudah ada banyak material yang berbeza daripada karya-karya yang pernah dihasilkan. Seperti yang diucap sebelum ini, kami suka bereksperimen,” jelas Aepul.
Album baharu Drama Band
MUNCUL dengan album yang membariskan 16 lagu, ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama peminat. Menjadikan pemacu pena sebagai album fizikal mereka, ini antara pembaharuan yang cuba diaplikasi Drama Band.
Tujuh tahun mengumpul material, mereka berasakan inilah masa yang sesuai untuk memperdengarkan karya-karya baharu dan lama yang pernah singgah di halwa telinga pendengar semua sepanjang 11 tahun mengemudi bahtera seni.
“Kami mengumpulkan material-material lama dan baharu untuk disatukan dalam album Drama ini. Malah, dalam album ini juga kami selitkan lagu Drama versi Anugerah Juara Lagu ke-34. Itu antara keunikannya.
“Memang semua sedia maklum, pasaran album kini perlahan. Tetapi kami mahu tunaikan permintaan peminat dan juga kepuasan sendiri. Maka terhasillah satu album yang kami fikir menceritakan perjalanan kami setakat ini,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengapa pemacu pena menjadi pilihan, Faeez berkata, di kala ini tiada yang pelik jika pendrive dipilih menggantikan cakera padat. Malah, mereka juga antara yang pertama menggunakan cara itu.
“Lagi mudah sebenarnya bila guna pemacu pena ini. Mudah dibawa ke mana-mana dan sekarang ini, dalam kereta juga sudah tersedia pemainnya. Jadi peminat lebih mudah untuk memainkan lagu selain menggunakan platform digital,” katanya.
Berbicara soal album Drama, beberapa lagu dianggap cukup personal antaranya Ular dan Jika Tiada Esok. Bagi Faeez, lagu Jika Tiada Esok itu cukup dekat di hatinya dan Aepul yang merupakan bekas pesakit Covid-19.
“Ketika itu Aepul dan saya sama-sama berfikir dalam, jika tiada esok untuk kami bagaimana? Single itu sudah dihasilkan lama dan ketika itu kami fikir, elok jika kami keluarkan lagu itu sesuai dengan apa yang dilalui.
“Malah, dalam album ini menariknya terdapat lagu Sejujurnya duet bersama Leez yang juga isteri Aepul. Bukan senang ya nak pujuk tetapi syabas Aepul! Anda berjaya,” selorohnya.










