fbpx

Neelofa minta maaf, akui kurang sensitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon popular, Neelofa tampil memohon maaf secara terbuka berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada majlis perkahwinan dan kunjungannya ke Langkawi, Kedah bersama suami, Haris Ismail baru-baru ini.

Neelofa, 32, berkata, dia dan suami serta ahli keluarga kedua-dua belah pihak juga sudah hadir ke Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk memberi keterangan dan membantu siasatan polis.

Malah, selepas pelbagai spekulasi timbul, Neelofa enggan mengeruhkan keadaan dan menerima dengan hati terbuka apa juga keputusan serta tindakan yang bakal dikenakan pihak berkuasa.

“Saya dan suami pergi awal minggu ini, manakala keluarga suami hadir beberapa hari lalu dan ahli keluarga saya selesai memberi keterangan hari ini. Alhamdulillah kami semua sudah selesai memberi keterangan.

“Kalau kita lihat ada pelbagai versi cerita di luar sana berhubung dua isu ini. Jadi, saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan mahupun di luar pengetahuan saya berhubung dua isu ini.

“Saya dan suami mengakui dan menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan daripada pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kiriman video kepada Utusan Malaysia.

Neelofa sebelum ini menerima kecaman hebat warganet selepas dia didakwa melanggar SOP ketika berada di Langkawi atas urusan kerja bersama pihak Chatime. Malah, isu tersebut sohor kini di media sosial beberapa hari.

Sebelum itu, Neelofa dan keluarga termasuk suami turut menerima kecaman apabila majlis pernikahannya dikatakan melanggar SOP.

Sementara itu, Neelofa dalam video tersebut juga mengakui kurang sensitif berhubung isu-isu yang berlaku terhadap dirinya.

“Saya sekali lagi nak mohon maaf kerana kurang menjaga sensitiviti mengenai hal ini terhadap semua pihak. Ada banyak perkara saya terlepas pandang. Saya patutnya beri contoh yang lebih baik mengenai hal itu.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan. Semoga bulan Ramadan kali ini menjadi yang terbaik buat kita semua. Sentiasa dalam lindungan Allah SWT dan mendapat ketenangan serta keberkatan, Insya-Allah,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI