‘Lagu bising’ nanti susah keluar radio - Utusan Malaysia

‘Lagu bising’ nanti susah keluar radio

KUALA LUMPUR 20 September 2012. Yantzen Juniwan pada sidang media Malaysian Rock Fest 2012. Gambar: JEFFRI IRAN. Pemberita: ABD AZIZ (Hiburan). NOTA TERBITAN UTUSAN MALAYSIA MEGA 25 SEPTEMBER 2012 SELASA MUKA 24 ***archived by MHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak sulit mencetak nama di kamus seni, namun memahat nama untuk dikenang mungkin sesuatu yang rumit. Pelbagai jalan berliku harus ditempuh agar pengalaman mampu mematangkan diri. Begitulah resam hidup anak seni yang bergantung hidup atas sokongan peminat.

Bakat dan populariti adalah dua yang berbeza. Namun figura kelahiran Singapura ini miliki kesemuanya. Akui tidak mudah menyemai benih sebelum dibaja dan disiram untuk menikmati hasilnya, dia tahu usaha itu akhirnya berbaloi.

Pemilik nama sebenar Yantzen Juniwan, 62, berkongsi kisah kehidupannya bersama Mingguan Malaysia. Cerita lama yang jarang dikongsikan bersama peminat. Selama 40 tahun mengabdikan diri dalam bidang seni bukanlah waktu singkat, malah sudah boleh dinaskahkan.

“Sebaik menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Komanwel, Singapura pada 1975 saya berkenalan dengan seorang ahli perniagaan yang menjalankan bisnes membekal alat ganti seperti lampu dan bumbung asbestos untuk keperluan kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Waktu itu saya diminta bayar SD500, kononnya sebagai rakan kongsi dan nilai keuntungan akan dibahagikan sama rata. Pada mulanya memang nampak ‘cantik dan tersusun’, tapi bila dah separuh jalan, lain pula halnya. Partner saya terus hilangkan diri,” katanya memulakan perbualan.

Akibat kejadian itu dia menjadi ‘kambing hitam’ dan terpaksa berhadapan dengan pembekal dan pemiutang yang datang walaupun dia tidak tahu menahu dengan apa yang berlaku di belakangnya ketika itu.

Walaupun harapan untuk bergelar ahli perniagaan berkecai, namun sama sekali tidak mematahkan semangatnya. Dia bertekad jadikan pengalaman lalu sebagai iktibar. Seterusnya dia bekerja sebagai penghantar barang keperluan pejabat termasuk perabot dan cenderahati dari luar negara.

“Di sini saya banyak belajar selok belok perniagaan. Selepas dinaikkan pangkat sebagai pegawai pemasaran saya mula menguruskan barangan yang sampai dengan kontena di pelabuhan. Waktu ini gaji pun dah naik dan majikan beri komisen tambahan bila saya berjaya pasarkan barang-barang tersebut di kedai-kedai baru.

“Di waktu malam pula saya akan buat kerja sampingan iaitu membantu saudara majikan hantar minyak wangi ke kedai-kedai dan pasar raya sekitar Singapura. Hampir empat tahun juga saya menimba ilmu berniaga dengan mereka,” katanya.

Membesar di era kebangkitan muzik rock, sedikit sebanyak mempengaruhi hidupnya ketika itu. Akui minat dengan muzik ‘berat’ dari barat terutamanya kumpulan Iron Maiden dan Deep Purple, dia sering berkunjung ke sebuah studio latihan muzik berhampiran kawasan perumahannya.

Meminati sahaja tidak mencukupi. Apabila jiwa sudah sebati, dia menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang diberi nama Heaven Curse. Walaupun sekadar menjadi kumpulan undangan di majlis kenduri kahwin namun dia berasa puas kerana berjaya membuktikan mereka berbakat dan mampu menghiburkan orang ramai.

“Sweet Charity merupakan kumpulan yang cukup terkenal di Singapura. Kalau buat persembahan bersama mereka kami akan perform jika mereka berhenti rehat sahaja. Begitulah jauhnya standard kami dengan mereka ketika itu.

“Akhirnya pada 1982 saya dan rakan-rakan menubuhkan kumpulan baharu iaitu Rusty Blade. Kami hanya main lagu-lagu metal sahaja terutamanya lagu-lagu Iron Maiden,” katanya.

Pada 1982, penyanyi Sweet Charity, Ramli Sarip menarik diri atas alasan tertentu, Yantzen dipelawa menyertai mereka. Tawaran tersebut ibarat bulan jatuh ke riba, tambahan pula bila diberitahu akan membuat persembahan di Pop Festival ASEAN yang berlangsung di Taiwan.

Tidak menolak tuah yang datang bergolek, dia bersetuju dan bermulalah era kegemilangannya bersama Sweet Charity terutamanya selepas melakukan persembahan besar pada Hari Kemerdekaan Singapura.

“Ketika Sweet Charity mendapat undangan di Australia, saya tarik diri dan kembali kepada Rusty Blade. Waktu itu saya fikir lebih baik mencipta nama bersama kumpulan yang telah saya asaskan dan tidak adil rasanya untuk meninggalkan rakan-rakan terdahulu.

“Bersama Rusty Blade kami ditawarkan rakam album di bawah label Life Records Singapura. Untuk album pertama berjudul 786 Ikrar Perwira kami pertaruhkan lima lagu sahaja kerana pihak syarikat rakaman masih was-was dengan genre muzik yang kami ketengahkan. Adakah diterima peminat atau sebaliknya,” katanya

Konsep try and error nyata membuahkan hasil. Sambutan peminat cukup luar biasa terutamanya dari negara jiran, Malaysia.

Tidak menunggu lama, syarikat rakaman meminta mereka untuk menerbitkan rilisan kedua kerana yakin Rusty Blade sudah punya peminat tersendiri dan mampu mencatat jualan tertinggi ketika itu.

Album kedua berjudul Rintangan Hidup Dunia akhirnya diterbitkan pada 1987. Kali ini mereka mempertaruhkan tiga lagu slow rock, dan selebihnya berentak heavy metal.

Menurut Yantzen, itu adalah per­mintaan daripada syarikat rakaman yang mahukan keseimbangan dalam album tersebut.

“Bos syarikat rakaman beritahu agar album kedua ini jangan buat lagu ‘bising-bising’ nanti susah nak keluar radio, tapi akhirnya dia tak sangka peminat cukup minat lagu yang berentak ‘keras’. Buktinya album tersebut catat jualan lebih 100,000 unit dan dapat anugerah Album Best Of The Year ketika itu,” katanya tertawa.

Penonton tenggelamkan suara Yantzen

Walaupun cetak rompak berleluasa dan menjejaskan jualan album ketika itu, namun Rusty Blade masih mampu menarik nafas lega kerana persembahan pentas jadi keutamaan mereka malah sering diundang untuk mengadakan persembahan di Malaysia bersama kumpulan rock terkenal seperti Mega, SYJ, Wings dan banyak lagi.

Sambutan yang diberikan peminat pada setiap persembahan pula tidak pernah mengecewakan. Boleh dikatakan setiap kali mengadakan persembahan jualan tiket laris bak pisang goreng panas sehinggakan ada yang sold out, seperti yang berlaku Stadium Indera Mulia Ipoh, Perak.

“Ketika mengadakan persembahan di Ipoh, saya panik apabila menyangka sound system atau mikrofon rosak sebab tidak dengar suara sendiri. Tetapi rupa-rupanya saya silap. Suara ribuan penonton yang ikut menyanyi bersama telah menenggelamkan suara saya di monitor. Mereka memang sporting dan hafal semua lagu yang saya dendangkan.

“Pernah ketika melakukan persembahan di Pantai Batu Burok Kuala Terengganu penonton yang hadir melebihi 100,000 orang. Saya lihat sudah macam lautan manusia,” katanya.

Menurut Yantzen, sokongan yang diberi peminat membuatkannya terus bersemangat untuk berkarya hingga ke saat ini. Pahit manis pengalaman bergelar anak seni sudah dilaluinya, malah kerja kerasnya lebih 40 tahun selama ini dilihat cukup berbaloi.

Mengakui peminat semakin matang menilai, walaupun tidak bersama Rusty Blade, mereka masih menyokongnya. Semua ini terbukti ketika dia menyertai MAY sebelum bergerak sebagai penyanyi solo.

“Alhamdullillah, peminat sentiasa menyokong setiap usaha dalam kerjaya saya. Bersama MAY saya pahatkan nama dengan lagu hits seperti Suci dan Meniti Suratan. Ketika bergerak solo pula lagu Insan menjadi pilihan. Insya-Allah jika ada rezeki dan dipermudahkan mungkin selepas ini saya akan mengulangi lagi kegemilangan lalu,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×