
Dalam masa dua hari, 25 gig akan diadakan di seluruh Malaysia pada hujung minggu ini!
Ini kejayaan besar. Sebuah idea yang agak spontan, disambut beramai-ramai dan direalisasikan beramai-ramai.Portal Junklist menyifatkan penganjuran sambutan ini satu catatan sejarah kerana belum pernah dilihat lagi di mana-mana negara perkara sebegini disambut.
Inilah Hari Gig Kebangsaan (HGK). Sambutan dua hari yang diadakan semalam dan hari ini. Sebanyak 25 gig diadakan di seluruh Malaysia.
Ideanya dicetuskan Ahmad Faris daripada TAPAUtv, diilhamkan dari Record Store Day yang diadakan di seluruh dunia dan kata-kata sahabatnya, Cheong (Soundmaker Studio) yang mencadangkan satu hari di mana gig diadakan di seluruh negara secara serentak.
Selepas menyuarakan hal tersebut, idea Faris disambut para penganjur gig, artis, media dan seluruh ekosistem muzik independen. Kumpulan Whatsapp ditubuhkan, media dikumpul. Perlahan-lahan ia menjadi gerakan yang penuh keterujaan dan semangat kebersamaan.
Ia juga semakin membesar. Selain muzik, penggiat seni lain seperti pereka poster dan baju juga dilibatkan. Gerakan ini membesar secara organik.
Berpadu
Kejayaan mengumpulkan 25 gig hanya permukaan sebenarnya. Di dasarnya terkandung pelbagai manfaat lain.
Secara ekonomi, ia menyuntik tunai kepada pelbagai peringkat rantaian bekalan industri muzik, khususnya dalam lapangan independen. Yang selama ini rezeki terputus, dapat disambung semula.
Ia juga menyatukan penggerak-penggerak lapangan yang selama ini bekerja secara terasing dan sendiri-sendiri. HGK melibatkan semua pihak yang bekerja secara terhubung dan bersepadu.
Untuk ini, boleh saya katakan, antara manfaat tersembunyi HGK adalah menghubungkan komuniti independen dan manfaat ini akan berkekalan, atau sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk satu tempoh yang lama.
Contohnya, selepas ini, kalau ada mana-mana penganjur mahu melebarkan sayap ke negeri lain, dia sudah tahu mahu berkolaborasi dengan siapa.
Berpeluh
“Kurangkan mengeluh, banyakkan berpeluh!”
Itu ungkapan berhantu Faris yang tidak silap saya pertama kali diucapkannya ketika TAPAU Fest 2019. Ia sangat sesuai dengan semangat dan jiwa HGK.
Sepanjang tempoh pandemik, lapangan muzik independen dihempap pelbagai malang. Nadinya berdetak perlahan apabila gig tidak boleh dianjurkan. Pelan pelancaran album ditangguh, persembahan dalam talian tidak mendapat sambutan.
Seluruh ekosistem hampir buntu. Ramai yang mula ubah haluan, mencuba apa sahaja ruang untuk buat duit. Nak suap nasi ke mulut keluarga, terpaksalah.
Tapi kita tidak mengeluh. Kita berpeluh. Berpeluh fikir jalan untuk hidupkan semula lapangan muzik independen. Kita berpeluh kumpul kawan yang punya nyala rasa yang sama.
Semalam dan esok, kita teruskan berpeluh. Berpeluh menganjurkan gig, berpeluh menikmati gig. Kita tumpahkan peluh yang akan jadi benih yang menumbuhkan semangat dan inspirasi untuk generasi masa hadapan.
Berbingit
Kita cucuk wayar semangat, pasang volume paling kuat. Biar bingit satu negara bahawa sekumpulan manusia penggila muzik sedang buat sesuatu. Bingitkan telinga mereka biar segala mesej yang kita rencana pecahkan gegendang mereka.
Kongsi segala berkaitan HGK yang lalu di garis masa media sosial anda. Tidak mengapa kalau anda tidak terlibat secara langsung kerana ini projek komuniti, dengan sumbangan sekecil biji sawi pun anda sudah dikira sebahagian daripada keluarga HGK.
Ini hari raya. Hari meraikan kebersamaan. Kita hirup udara positif dua hari ini, cerna hal-hal toksik dalam scene jadi tinja. Ini hari kita semua, Hari Gig Kebangsaan!










