Hanya mahu watak cantik? Che Ta terkilan - Utusan Malaysia

Hanya mahu watak cantik? Che Ta terkilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA ini, bukan sekali dua timbul cakap-cakap belakang yang menuduh selebriti dan pelakon terkenal yang seorang ini selektif dalam soal menerima sesuatu tawaran lakonan.

Bukan apa, ramai yang kata, kalau wataknya tidak ada solekan tebal, tidak bercantik-cantik, maka jangan haraplah Rozita Che Wan akan ambil atau terima.

Maklumlah, lihat pada penampilan dirinya setiap hari di media sosial juga sudah kita boleh agak. Tergamakkah dia mahu ambil watak ibu tua di rumah usang, solekan buruk dan nampak hodoh?

Menyangkal tuduhan berat itu, aktres yang pekat tutur katanya dalam loghat Utara ini, mengaku seringkali merasa terkilan kerana ada pengarah dan penerbit sehingga kini masih was-was untuk memberikan watak yang disifatkan tak mungkin menjadi pilihannya.

“Saya sudah berada dalam industri 15 tahun dan bukan tak pernah pegang watak biasa, tak cantik. Satu daripadanya, telefilem Dosa Siapa arahan Murali Abdullah, elok saja saya terima watak pengemis.

“Watak Halimah itu juga melayakkan saya tercalon dalam senarai Pelakon Drama TV Wanita Terbaik Anugerah Skrin suatu ketika dulu.

“Tak cuma itu, ada juga watak yang tidak menampakkan saya bersolek tebal dalam telefilem lakonan bersama Fauzi Nawawi. Dilacurkan suami dan menghidap Aids lagi tahu,”katanya.

Bukanlah mahu terlalu membuktikan agar orang percaya dia boleh melakonkan watak seperti itu, tetapi kata Che Ta, sesekali sememangnya harus diberitahu pada semua supaya tidak ada yang tersalah anggap.

“Tiada maknanya saya nak ‘control’ cantik saja 24 jam di depan kamera.

“Sejak mencari rezeki dalam dunia lakonan ini, saya sentiasa berfikir di luar kotak dan sanggup mencabar diri dengan apa saja watak. Siapa yang kata saya nak berlakon jadi cantik saja tu, anda silap!” katanya.

Mengulas mengenai perihal dia pernah digugurkan daripada senarai nama pelakon oleh seorang pengarah untuk sebuah drama sebelum ini, Che Ta bagaimanapun tidak mengambil pusing lagi.

Katanya, semua itu juga adalah ketentuan rezeki dari Yang Maha Esa. Maka, dia hanya berserah sahaja kepadaNya.

Pun begitu, kata Che Ta, dia sentiasa dilihat tampil cantik dalam Instagram kerana ia adalah antara tuntutan komitmen kerja juga selain mempromosikan sesebuah produk.

Ulang tahun ke-48

Sementara itu, Che ta yang baharu sahaja meraikan ulang tahun ke-48 pada awal Mac lalu sedar dia tidak terlepas daripada pertanyaan berkenaan harapannya saat menyedari angka 50 semakin menghampiri.

Menurut wanita berpinggang kerengga ini lagi, tiada apa yang dimahukan selain terus dikurniakan kudrat dan dilimpahkan rezeki yang diberkati dariNya.

“Cuma adalah juga hasrat untuk berpindah ke kediaman baru dan harap-harap impian itu akan jadi kenyataan tahun ini. InsyaAllah, kalau tiada halangan, saya akan masuk rumah baru itu sebelum raya nanti.

“Sebenarnya, sejak tahun lalu, ketika pandemik melanda, saya sering bertukar kontraktor untuk kerja pengubahsuaian sebanyak tiga kali.

“Tak sangka juga ada yang tergamak menipu. Itulah antara punca urusan berpindah ke rumah baru ini jadi tertangguh,” katanya

Ditanya mengenai perkembangan kerjayanya, Che Ta memberitahu, dia juga akan sibuk dengan beberapa naskhah drama selepas ini.

Antara yang dikongsi, dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Dia Isteriku yang menyaksikan gandingannya bersama Hafidz Roshdi untuk siaran AlHijrah.

“Insya-Allah hujung bulan ini jika semuanya berjalan mengikut perancangan, saya akan ke Perlis untuk penggambaran drama 13 episod berjudul Ayahanda terbitan Zeel Production.

“Pengarah drama tersebut adalah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan akan turut dibintangi Fauziah Ahmad Daud dan Shahrolnizam Nor.

“Nampak gayanya Ramadan kali ini saya akan berada di sanalah sebab penggambaran dilakukan sepenuhnya di lokasi yang ditetapkan di Perlis,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×