Muncul dengan Dusta Cinta selepas lima tahun menyepi dari dunia seni suara, ada yang mula meneka apa yang berlaku dalam perkahwinan kedua penyanyi ini. Berkongsi derita dalam lagu baharu ini, bagai ada yang tidak kena.
Menolak dia melalui apa yang disampaikan dalam lirik lagu ini, kongsi Elly Mazlein, dia hanya bertindak sebagai pencerita.
Menegaskan berada dalam fasa yang cukup bahagia sebagai isteri, namun ada nasihat yang mahu disampaikan kepada mereka yang berada dalam hubungan toksik.
Menyentuh kisah kecurangan dan permasalahan hubungan dalam lagunya ini, pesan wanita berusia 40 tahun ini, jangan memaksa diri untuk menerima keputusan yang hanya membunuh perasaan.
“Lagu yang bakal dilancarkan ini memang mengenai permasalahan yang berlaku dalam hubungan tetapi bukan kisah hubungan saya.
“Saya dalam fasa cukup bahagia dengan suami dan anak. Cuma apa yang boleh saya kongsi mengenai apa dilalui mereka yang berhadapan dengan kecurangan dan masalah dalam hubungan.
“Selalunya mereka yang curang ini ada dua sebab. Satu, tidak mensyukuri pasangan masing-masing selain membiarkan nafsu menguasai diri. Bila mereka gagal mengawal perasaan ini, jadi berlaku kisah kecurangan.
“Sepatutnya dalam hubungan kita perlu menghormati pasangan dan sentiasa cermin diri. Jangan salahkan pasangan untuk mencari alasan melakukan perkara yang merosakkan hubungan. Dalam hubungan yang sihat, kita memerlukan dua pihak untuk merasai rasa cinta yang sama,” katanya yang akan melancarkan Dusta Cinta pada 26 Februari ini.
Melihat banyak kisah kecurangan pasangan dikongsi dalam media sosial sehingga tular, jelas Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi dia tidak mahu menghukum mana-mana pihak.

Sebagai seorang dewasa, Elly yakin, setiap keputusan yang dibuat melalui proses pertimbangan.
Soal pelakon dan pengacara ini juga, siapa kita untuk melihat perkongsian dalam laman sosial itu hanya berasaskan alasan untuk menyebarkan aib pasangan sahaja.
“Saya tidak boleh menghukum sesiapa, pastinya untuk berkongsi perkara seperti itu sahaja sudah mengumpul kekuatan yang tinggi. Semuanya terpulang kepada pihak itu sendiri apa niatnya untuk berkongsi mengenai pasangan mereka secara terbuka. Mungkin ada yang mahu memberi pengajaran.
“Kalau ikut saya, jika tidak mahu dimalukan janganlah buat perkara mengaibkan. Jadi bila sudah tersebar begitu jangan salahkan orang lain sebab punca utamanya adalah daripada diri sendiri juga,”katanya ringkas.
Tidak mahu melihat wanita terus diperkotak-katik hanya kerana cinta, nasihat penyanyi yang berasal dari Slim River, Perak ini, sentiasa mengutamakan keperluan diri dalam membuat keputusan.
Tambah Elly, jangan pernah takut untuk keluar daripada hubungan yang menyakitkan.
“Soal harus diberi peluang atau tidak untuk meneruskan hubungan jika pernah dicurangi, bagi saya terpulang kepada individu. Walaupun ada yang sudah tidak mampu meletakkan kepercayaan kepada pasangan, namun kita tidak boleh nafikan ada yang boleh berubah.
“Cuma bila berada dalam keadaan itu, wanita khususnya jangan takut untuk buat keputusan yang berbeza.
“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, namun dalam masa sama siapa tahu ada yang lebih baik untuk kita. Jadi sentiasa fikir positif untuk move on,”katanya lagi.
Anak? Doakan kami
Sama seperti pasangan lain, Elly juga tidak nafikan dalam tempoh ini dia sudah bersedia untuk menerima orang baharu.
Mengharapkan doa ikhlas daripada peminat, janji Elly jika benar ada khabar baik dia sendiri sedia berkongsi dengan semua.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, saya tidak akan rahsiakan, bagi saya sesuatu yang baik perlu dikongsi dan memang itu yang saya akan lakukan. Cuma buat masa ini, saya harapkan doa kalian agar dipermudahakan urusan kami sekeluarga,”katanya.
Sementara itu, melihat rezeki dalam bidang seni semakin memuncak, ternyata dia tidak menyangka masih mampu relevan selepas hampir 25 tahun mengemudi kerjaya ini.
Sentiasa meletakkan sikap merendah diri sebagai senjata utama, yakin Elly, apa yang dimilikinya ini adalah jasa peminat yang tidak pernah lelah memberi sokongan.
“Alhamdulillah dengan rezeki dalam bidang seni, siapa sangka bakat saya masih dihargai sehingga kini. Bagaimanapun apa yang dimiliki kini tidak berlaku atas keringat saya sahaja tetapi sokongan peminat selama ini.
“Sebab itu, saya mahu berterima kasih kepada semua yang selama puluhan tahun ini setia memberi semangat untuk berkongsi bakat sebagai anak seni,”akhirinya.
Bersuami muda
Bukan sesuatu yang pelik untuk melihat lebih ramai artis wanita kini memilih suami yang jauh lebih muda. Berada dalam situasi sama, kehadiran Mohamad Azlan, 31, bagai melengkapi kehidupannya sebagai seorang isteri kini. Sungguhpun ini adalah perkahwinan kedua buat dirinya, kongsi Elly dia tidak pernah meletakkan harta sebagai syarat kebahagiaan.
“Bukan usia suami yang menentukan kebahagiaan isteri tetapi bagaimana dia menghargai pengorbanan wanita itu lebih penting. Jadi pendapat saya jangan anggap lelaki lebih muda ini tidak bersedia dalam menggalas tanggungjawab yang besar.
“Ada cari yang lebih berusia sebab mahu menjamin masa depan. Kenapa tidak ubah pemikiran itu contohnya wanita juga mempunyai kemampuan untuk mengumpul harta sendiri? Kenapa perlu harapkan orang lain? Malah jika perkahwinan itu bermula dengan niat ikhlas saya yakin akan ada rezeki yang lebih menyenangkan,”katanya yang baru menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama Januari lalu.
Pernah bergelar ibu tunggal ternyata keputusan untuk berkahwin bukan sesuatu yang mudah. Seperti ibu tunggal lain, sebelum ini kata Elly dia juga cukup berhati-hati dalam membuat pilihan.
Melalui waktu itu dengan doa yang tidak putus, Elly sentiasa meletakkan Putri Sara Sefhia, 5 sebagai keutamaan sebelum membuat apa-apa keputusan.
“Ibu tunggal jangan pentingkan diri dalam mengejar kebahagiaan. Sebab perkara utama yang perlu kita fokus adalah anak. Jadi kena utamakan anak dalam apa-apa hal. Macam saya sebelum berkahwin, berjanji kepada diri hanya akan memilih seseorang yang mampu diterima anak saya,” jelasnya.
Katanya, siapa sangka doanya itu dipermudahkan. Malah hari pertama memperkenalkan Sefhia kepada suami sudah terlihat kemesraan mereka.
“Lebih penting bagaimana perjalanan hubungan kami itu mudah sehingga berkahwin,” ujar penyanyi lagu Bunga Bakawali ini. – MINGGUAN MALAYSIA












