Relevankah indie vs mainstream? - Utusan Malaysia

Relevankah indie vs mainstream?

KUALA LUMPUR 3 JULAI 2019 - Sidang Media Toko Tour di Johor Bharu ,Penang dan Kuala Lumpur.Menampilkan Kumpulan Toko Kilat dan Noh Hujan di The Gasket Alley ,Petaling Jaya.di sini.hari ini. TOKO KILAT yang ditubuhkan pada 2016 dianggotai oleh (dari kiri), Azhari Toya, Redzuan Wan Hussin, Edwin Raj, Irfan Iskandar dan Saiful Taufek. NOTA TERBITAN KOSMO 15 JULAI 2019 ISNIN MUKA 36 150719K ARCHIVED BY SUE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN sebal yang saya tanyakan pada Mohd. Jayzuan beberapa bulan lalu masih lagi berkumandang nampaknya. Polemik indie vs mainstream masih berleluasa namun soalan-soalan yang menyelubunginya agak berbeza. Sekarang, lebih ramai yang bertanya, masih relevankah dikotomi ini dalam industri muzik?

Baru-baru ini satu kenyataan daripada kugiran Toko Kilat pula agak tular. Sekurang-kurangnya, ia mendapat perhatian dalam Music Addicts Malaysia Group di Facebook.

Kenyataan Toko Kilat yang dipetik daripada temu bualnya bersama majalah Junklist Digest itu berbunyi begini:

“Kami dah penat dengan mentality indie vs mainstream ni. Dah penat nak layan. Kadang-kadang kami rasa mereka ni hanya menyorok di belakang ideologi indie ni dan tak jantan enough nak keluar untuk bagitahu public tentang muzik mereka. Kita takkan dengar Nirvana kalau Nirvana tak sign dengan label Geffen Records.”

Soal perspektif

Saya masih utuh dengan pendapat bahawa scene independen dengan arus perdana di Malaysia perlu dibezakan. Namun, saya faham pada suara-suara yang berpendapat sebaliknya.

Ini kerana, ia soal perspektif. Sebagai pendengar, anda sangat-sangat digalakkan untuk melayan semua muzik secara sama rata. Saya sendiri apabila menyarung kasut pendengar akan melayan apa sahaja muzik yang mampu menarik minat saya, baik daripada Golden Mammoth atau Iman Troye.

Namun, apabila memakai kasut penulis, saya perlu letakkan tembok pemisah antara independen dengan arus perdana. Sebab, saya melihat muzik sebagai fenomena sosial. Mahu tidak mahu, kita kena akui bahawa budaya muzik independen dengan arus perdana itu berbeza.

Budaya muzik

Di lapangan independen, penghasilan album atau sekurang-kurangnya EP itu mekar. Mereka tidak bergantung dengan rilisan satu lagu. Pastilah ada sebahagiannya tapi selang dua atau tiga tahun, pasti ada album yang dihasilkan.

Antara kugiran yang sangat aktif menghasilkan album ialah Hujan. Jika betul kiraan saya, sejak 2007, mereka menghasilkan sembilan album dan EP. Itu tidak termasuk rilisan istimewa seperti UK Release dan Live At Planet Hollywood.

Namun, budaya ini layu di lapangan arus perdana. Sukar melihat artis-artis arus perdana menghasilkan album kecuali buat mereka yang sudah kukuh dan punya peminat yang ramai.

Bintang Paling Popular 2020, Haqiem Rusli baru menghasilkan satu album sejak 2018. Itupun, hanya tujuh lagu termasuk satu lagu remix dengan durasi tidak sampai 30 minit. Pada saya, ia belum layak digelar album. Sepatutnya, dengan kekuatan modal serta pengaruh, Haqiem sudah boleh ada satu lagi album penuh seawal 2019.

Jika diteliti, banyak lagi budaya yang jelas berbeza antara lapangan independen dengan arus perdana. Budaya syarikat rakaman, label pengurusan termasuk media. Perbezaan budaya ini yang merelevankan dikotomi indie vs mainstream.

Kucing Schrodinger

Saya menyimpulkan polemik ini dengan sedikit gubahan kepada paradoks kucing Schrodinger. Indie vs mainstream wujud dalam kedua-dua keadaan: relevan dan tidak relevan. Kita hanya tahu sama ada ia relevan atau tidak apabila kita membuka kotaknya.

Jika kita buka dan kotak itu mengandungi pemain piring hitam, ia tidak berguna. Kalau mahu dengar muzik, dengarlah apa sahaja muzik yang menarik minat anda tanpa mengira apa amalan artis itu, baik independen mahupun arus perdana. Raikan kepelbagaian muzik tanpa prejudis.

Namun, jika kita buka dan kotak itu mengandungi buku-buku dan majalah berkaitan muzik, maka ia berguna. Ini kerana, untuk memahami muzik sebagai sebuah fenomena sosial, budaya dan pengamalannya perlu diambil kira.

Bukan semua orang mahu memandang muzik sebagai subjek serius. Ignorance is bliss dan ini bukan satu sindiran, saya benar-benar memaksudkannya.

Muzik, selain sebagai satu bidang ilmu, ialah alat hiburan. Jangan benarkan sesiapa menghakimi anda atas pilihan untuk melihat muzik sebagai hiburan semata-mata atau ruang memperoleh pengetahuan.

Maka, anda buatlah pilihan sendiri, mahu membezakan indie dengan mainstream atau tidak. Namun harus diingat juga, jika ada yang mahu membincangkannya jangan juga anda jerkah kerana ada perspektif yang memerlukannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN