Buruh maut kena serangan jantung ketika pasang tangki septik - Utusan Malaysia

Buruh maut kena serangan jantung ketika pasang tangki septik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh maut di dalam kawasan lubang sedalam kira-kira dua meter selepas mengalami serangan jantung ketika sedang menjalankan kerja memasang tangki septik di sebuah rumah di Taman Permai Demit, Kubang Kerian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, mangsa, Zakari Mat Jusoh, 48, disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan ketika berada di dalam kawasan lubang tersebut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd. Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.28 petang sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.

“Mangsa dibawa keluar dari lubang berkenaan untuk pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan.

“Lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menjalankan kerja pemasangan tangki septik di sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Ridzuan memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk tindakan lanjut.

Katanya, berdasarkan maklumat keluarga, mangsa baru keluar wad hospital baru-baru ini selepas mengalami serangan jantung.-UTUSAN

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×