Terima kasih `haters' - Noraniza Idris - Utusan Malaysia

Terima kasih `haters’ – Noraniza Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN untuk berada dalam program Gegar Vaganza 7 (GV7) bagaikan membuka ruang untuk dirinya berhadapan dengan kritikan.
Tanpa belas kasihan, pengguna laman sosial tidak sudah-sudah mempersoalkan kemampuan penyanyi yang mempunyai pengalaman puluhan tahun ini.
Kongsi Ratu Irama Tradisional, Noraniza Idris, sebagai anak seni dia sentiasa bersedia dengan cabaran. Malah ketika ini juga dia menolak untuk menyimpan dendam kerana yakin ada yang baik dalam setiap yang menyakitkan.

Pernah terdetik rasa menyesal menyertai GV7?
Tidak pernah langsung! Sebagai pejuang irama Malaysia saya sentiasa melihat ruang dan peluang untuk mengetengahkan irama ini. Saya melihat pentas GV7 juga sebagai satu percubaan yang baik. Jujurnya tawaran datang daripada pihak pengurusan saya, Mind Order. Jadi bila ada orang yang menguruskan, saya fikir perjalanan dalam program itu lebih mudah. Macam saya katakan tadi tidak menyesal.

Bila ada yang terus mempertikaikan kemampuan nyanyian, sebagai seorang penyanyi yang sudah puluhan tahun dalam industri, apa perasaan Noraniza sendiri?
Dalam pertandingan itu, saya dinilai mereka yang sudah mempunyai pengalaman yang hebat dalam bidang muzik. Bukan calang-calang yang memberi komen dalam setiap persembahan saya.
Mungkin netizen patut rasa bagaimana berada dalam pertandingan ini. Kita bukan bercakap soal kemampuan sahaja. Setiap minggu saya diberikan cabaran berbeza. Sebagai penyanyi irama Malaysia, saya sentiasa cuba memberi kelainan dalam persembahan dalam menyelitkan kelebihan yang saya miliki. Kalau betul tidak bagus, mengapa saya boleh sampai ke pentas akhir.

Bila timbul kontroversi baru-baru ini, Noraniza dituduh tidak mampu menerima kritikan penonton program ini, betulkah?
Bukan tidak boleh terima kritikan, saya adalah seorang yang cukup sedia membetulkan setiap kesalahan. Bagaimanapun melihat cara penyampaian kritikan mereka khususnya di laman sosial sangat memalukan. Menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya, bagi saya ini tidak patut berlaku. Pendek kata saya boleh menerima kritikan tetapi gunakan bahasa yang baik.

Komen Noraniza tentang pengguna laman sosial yang berbahasa kurang sesuai dalam memberi kritikan.
Ikutkan saya memulakan karier sebelum wujudkan laman sosial, jadi ini adalah sesuatu yang baharu. Ketika ini saya tidak hanya meletakkan diri sebagai penyanyi tetapi pendidik. Bagaimana saya sangat mementingkan adab dan tertib untuk berbicara. Kita tahu menerusi laman sosial itu juga secara tidak langsung melambangkan cara mereka dibesarkan.

Selepas apa yang berlaku, jika ada peluang untuk kembali menyertai pertandingan nyanyian berbeza adakah Noraniza sendiri bersedia?
Saya tidak tahu dan tidak ada jawapan tentang soal itu. Ikutkan saya pernah cakap tidak mahu masuk GV, tetapi akhirnya masuk juga. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Mungkin ketika ini ada kata-kata daripada Noraniza kepada pengguna laman sosial yang lebih dikenali sebagai ‘haters’.
Terima kasih sebab terus memberi saya saham akhirat. Tetapi jujurnya apa yang dilakukan mereka, dalam waktu sama seakan memberi sebab nama saya lebih dikenali. Sekali gus memberi peluang kepada orang lain juga mengetahui apa yang cuba diperjuangkan saya dalam irama Malaysia. Saya lebih suka ambil sesuatu yang positif sahaja. – Jawablah, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN