TIDAK semuanya suram pada tahun pandemik ini. Baru-baru ini scene muzik independen negara bersorak gembira apabila TAPAUtv mengumumkan penganjuran TAPAUawards yang akan dilangsungkan Ahad ini.
Anugerah itu adalah penghargaan daripada TAPAUtv kepada pengkarya yang tetap aktif walaupun diselubungi pandemik.
Menurut pengasas TAPAUtv, Ahmad Faris Abdul Hamid, TAPAUawards adalah inisiatif pihaknya untuk memberi penghormatan kepada komuniti kreatif independen Malaysia.
“Dari awal lagi, misi kami adalah untuk memberi semangat dan menghidupkan scene independen. Kami fikir, ketika semua menghadapi dugaan ini, penting untuk ada TAPAUawards.
“Kita faham tak semua artis indie boleh hasilkan karya dalam keadaan sukar ini. Kita nak beri semangat kepada mereka dan menutup 2020 dengan sesuatu yang positif sebagai sebuah komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TAPAUawards dianjurkan buat kali pertama tahun lalu. Malam anugerah yang dilangsungkan di The Bee, Publika ketika itu turut meriah dengan kehadiran nama besar independen seperti Yuna dan Hujan.
Hujan merangkul anugerah utama malam itu, Artist Of The Decade manakala kugiran Iqbal M. membawa pulang tiga trofi, iaitu Best Artist, Best Song dan Best Album Art.
Tahun ini, semua kategori tahun lalu dipertandingkan, kecuali Artist Of The Decade yang akan dipertandingkan semula pada 2029 untuk memilih artis terbaik dekad baharu ini.
TAPAUawards 2020 akan diadakan di Safehouse KL sebagai penaja ruang acara selain menerima tajaan sistem audio daripada Big A Production. Disebabkan pandemik, acara ini akan dilangsungkan secara dalam talian melalui strim langsung di www.tapauasia pada pukul 9 malam, Ahad ini.
Acara itu akan turut dimeriahkan dengan persembahan secara langsung oleh beberapa artis. Setakat ini, penganjur mengesahkan Gard Wuzgut bersama Offgrid akan membuat persembahan.
Sebanyak lapan kategori dipertandingkan. Enam daripadanya melibatkan undian peminat. Untuk enam kategori tersebut, empat calon akhir telah diumumkan oleh TAPAUtv, Sabtu lalu.
No Good mengungguli apabila tercalon dalam empat kategori, iaitu Best Artist, Best Release (EP Demo Kawe), Best Music Video (Che Using) dan Best Album Art (EP Demo Kawe). Monoloque pula meraih tiga pencalonan melalui kategori Best Song (Pijak Atas Bayang), Best Release (EP Perang Halimunan) dan Best Artist.
Melihat nama-nama besar yang dicalonkan, mungkin ada yang melihat TAPAUawards tidak memberi perhatian kepada artis baharu. Namun bagi Ahmad Faris, kata-kata sebegitu tidak memberi kesan kepada TAPAUtv atau TAPAUawards.
“Pemilihan calon berdasarkan hasil kerja dan impak, tak kisah ‘otai’ atau baharu. Hasil karya dan usaha yang utama.
“Kalau kita tak sokong (artis baharu), kenapa kita buat Jeremy Award yang memang untuk harapan baharu dalam scene? Walaupun TAPAUawards ada pemenang, ia bukan hanya tentang mereka yang menang. Ia tentang meraikan komuniti,” katanya.
Selain itu, kejayaan pendatang baharu, A. Limin menempatkan album mereka, Adam kategori Best Release juga membuktikan TAPAUawards memberi ruang kepada artis baharu jika karya mereka benar-benar berkualiti dan memberi impak.
Jeremy Award adalah salah satu kategori khas selain Yasmin Award yang tidak melibatkan undian peminat. Pemenangnya akan diumumkan pada malam acara tersebut.











