Jangan mencarut dalam lirik - Utusan Malaysia

Jangan mencarut dalam lirik

S. Amin Shahab ketika ditemu bual di kediamannya, di Selayang, baru-baru ini. - Mingguan/Muhamad Iqbal Rosli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Engkau bagai air yang jernih
Di dalam bekas yang berdebu
Zahirnya kotoran itu terlihat
Kesucian terlindung jua

Masih ingat lagi dengan bait lirik Suci Dalam Debu yang didendangkan oleh kumpulan Iklim satu ketika dahulu? Lirik yang cukup puitis, membawa maksud mendalam sehingga sukar ditafsirkan oleh segelintir pendengar. Itulah keunikan dan kreativiti yang berjaya diilhamkan oleh pelukis dan penulis lirik terkenal ini.

Menurut figura yang sarat dengan elemen seni ini setiap butiran maksud yang terdapat dalam sesebuah lirik adalah daripada bahasa yang disusun indah dan kemas di samping mempunyai pertalian dengan pemikiran si penulisnya.

Justeru lirik memainkan peranan penting dalam penghasilan sesuatu lagu kerana jika ia mampu menyentuh perasaan bermakna ia sudah berjaya menakluk jiwa pendengar.

Bersama Mingguan Malaysia, empunya nama Syed Mohd. Amin Syed Hashim Al-Shahab, 66, atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab berkongsi kisah perjalanan seninya dari mula dia melakar nama sehinggalah dikenali hari ini.

“Saya bermula pada 1973 ketika belajar di Nanyang Academy of Fine Art di Singapura. Ketika itu akrab dengan Datuk M.Nasir kerana kami belajar di tempat yang sama. Selepas habis belajar saya balik ke Kuala Lumpur dan bekerja di tempat membuat batik di Hotel Hilton.

“Namun pada 1979 selepas pulang dari Indonesia, saya sekali lagi pergi ke Singapura. Ketika itulah saya berjumpa dengan M.Nasir yang waktu itu sudah berjinak-jinak dengan muzik dan syarikat rakaman. Atas minat dan kesungguhan, saya diberi peluang untuk menghasilkan lirik pertama penyanyi Normah Johari, artis kelahiran Singapura,” jelasnya.

Menurut S. Amin Shahab untuk menjadi seorang penulis lirik yang bagus perlu bersikap terbuka dan berfikir di luar kotak kerana selain mewarnai bait dengan unsur cinta, ketuhanan, kemanusiaan dan sosial, penulis lirik juga ada waktunya kena berani menjadi pengkritik.

“Lirik yang bagus bukan sekadar sedap ketika dinyanyikan, malah bila ditutur ia sudah meresap ke dalam jiwa, seperti kita mendengar puisi. Bahasa yang indah itu cukup sekadar dibaca, tanpa perlu dilagukan, namun di dalamnya sarat maksud tersurat dan tersirat.

“Saya berfikiran terbuka. Cuba menjadi diri sendiri dan jujur dalam menyampaikan mesej melalui lirik yang disampaikan.

“Seni ukiran dan lukisan juga banyak mempengaruhi lirik saya. Ini semua kreativiti. Dia datang sendiri tanpa dipaksa. Ada waktunya bila kita bersungguh dan bersemangat nak buat lirik itu langsung tiada idea yang datang. Duduklah sampai berjam-jam sekali pun memang kertas itu kosong sampai ke sudah!

“Tapi ada masanya bila idea itu nak datang, waktu buang air di tandas pun saya boleh siapkan satu lirik,”jelasnya..

Menurutnya banyak lirik ciptaannya menampilkan unsur-unsur sufisme dan tasauf (ketuhanan). Kombinasi itu mampu melahirkan lirik kecintaan antara manusia dan tuhan, atau seperti hamba dan penciptanya. Ia bukan sekadar unik, malah mengandungi mesej cukup mendalam.

S.Amin Shahab turut berkongsi pengalamannya ketika menghasilkan lirik untuk lagu Suci Dalam Debu (Iklim) dan Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah), yang menurutnya mempunyai perbezaan yang cukup ketara.

“Memang ramai yang puji lirik lagu Suci Dalam Debu kerana ia indah dan puitis, tapi sebenarnya saya cuma ambil masa setengah jam sahaja untuk buat lirik itu sebelum saya perkemas dan warnakan kemudiannya.

“Tapi berbeza dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir. Sebaik sahaja Fauzi Marzuki beri lagu tersebut, saya jadi buntu. Hampir dua minggu saya tak mampu menghasilkan lirik lagu tersebut. Hinggalah suatu hari selepas menghantar isteri berkerja, saya pergi ke Tasik Titiwangsa.

“Ketika duduk di tepi tasik saya lihat ada seorang lelaki tua berjubah sedang duduk memerhatikan saya. Rambut, misai, janggut dan pakaiannya semua berwarna putih. Kemudian dia bangun dan merenung tajam ke arah saya. Waktu tu saya tak fikir pun siapa dia, tapi entah macamana idea terus datang. Terus capai pen dan kertas tulis… Malam menanti siang, siang menanti malam… bla..bla.. siap satu lirik. Bila saya toleh semula lelaki itu dah hilang. Saya tinjau sekeliling pun memang tiada,” katanya.

Katanya lagi, sebelum lirik menjadi lagu seharusnya penulis sudah tahu nilai lagu itu sendiri. Kombinasi antara penyanyi, pencipta lagu dan penulis lirik amat penting sebelum diterjemahkan kepada pendengar.

“Saya sudah lupa berapa banyak lirik yang dihasilkan selama ini, sampai rasa muak dah. Walaupun ada juga lirik-lirik yang saya buat memang saya tak suka langsung.

“Seperkara lagi kalau nak buat lirik jangan syok sendiri kerana lagu ini untuk orang dengar. Kena pastikan lirik yang kita buat semua kategori boleh diterima. Kalau semua orang suka barulah dikira berjaya.

“Jangan sesekali mencarut dalam lirik. Kalau nak kritik atau protes sekalipun bahasa kena jaga dan tapis supaya tidak jadi kontroversi. Karya ini luas, sebagai penulis lirik kita bebas menterjemahkannya. Tidak perlu jadi seperti lembu dicucuk hidung,” katanya.

Mutakhir ini kebanyakan penyanyi bersifat kreatif apabila mereka sendiri mampu menghasilkan lagu dan lirik.

Menurut S. Amin Shahab itu adalah satu perkembangan yang sihat, namun mereka ‘terlepas’ dari segi kerjasama antara pencipta lagu dan penulis lirik.

Kini masa lapangnya lebih banyak diisi di galeri lukisannya yang terletak bersebelahan kediamannya. Setakat ini beliau mengumpul beratus-ratus lukisan, termasuk hasil karya sendiri dan rakan-rakannya.

Beliau turut mengalu-alukan pencinta lukisan yang ingin berkunjung ke galerinya, namun perlulah membuat temu janji terlebih dahulu.

Menurutnya, jika berkesempatan dan tiada aral melintang dia bercadang mengadakan pameran lukisan pada penghujung 2021, baginya itu adalah medium terbaik untuk mempamerkan hasil seninya di samping membantu rakan-rakan lain yang ingin menjual karya mereka.

“Walaupun sudah menjangkau 66 tahun, namun saya masih belum puas berkarya. Dalam jiwa ini masih ada idea dan ilham yang ingin diterjemahkan.

“Sementara hidup di dunia ini buatlah apa yang kita rasa puas. Tapi kena ingat bukan hanya untuk diri kita, tapi untuk keluarga dan juga orang lain,” katanya menutup perbualan. – Khabar Legenda, Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.