Kuala Lumpur: Borneo Fashion Week (BFW) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh gaya dan kemeriahan selepas dua hari berlangsung pada 10 dan 11 Oktober lalu di Pavilion Damansara Heights.
Dengan tema “Fashion With Purpose”, edisi kali ini menyerlahkan keindahan fesyen berteraskan warisan, kelestarian dan komuniti kreatif yang menjadi nadi kepada identiti Borneo.
Diasaskan oleh Stephanie Alcantara, bekas ratu cantik dan personaliti fesyen berpengaruh, BFW 2025 terus menjadi platform penyatuan pereka, model, artis dan pencinta fesyen dari seluruh rantau Asia.
Hari pertama dimulakan dengan persembahan tradisional dan pertunjukan fesyen pembukaan daripada pereka ternama seperti GC Jade, Bilang, Clarissima, Even Ong, Aldrin Artistry dan Hayden Ng yang menampilkan rekaan menggabungkan elemen tradisi serta moden.
Sementara itu, sesi malam diteruskan dengan koleksi dramatik dan berkarakter daripada Nasha Prive, Barzwang, Inayad, Wan Bynun, Jay K, Maswira Majid dan Ocely, sekali gus memukau penonton serta penggiat industri.
Hari kedua menyaksikan sesi penghargaan penaja termasuk Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Laurastar, ROGUES Café dan Pavilion Damansara Heights yang banyak menyokong kejayaan BFW 2025.
Dalam pada itu, pertunjukan diteruskan dengan koleksi eksklusif oleh Indra Murak, December Teo, Bianca, Saerah R. Kunjan dan Angelique, yang menampilkan kepelbagaian rekaan daripada elegan moden hingga avant-garde etnik.
Di samping itu, kemuncak acara pada malam Anugerah BFW 2025 diteruskan dengan pemenang utama termasuk Nasha Prive sebagai Designer of The Year, Saerah R. Kunjan sebagai Green Thread Award dan Barzwang sebagai Emerging Designer of The Year.
Menurut Stephanie, kejayaan BFW 2025 membuktikan bahawa Borneo kini bukan lagi sekadar pemerhati tetapi sebagai pemain penting dalam dunia fesyen Asia.
“Borneo Fashion Week bukan hanya pertunjukan fesyen, tetapi satu pergerakan yang membawa mesej tentang kelestarian, warisan dan kasih kepada budaya kita,” katanya.