Basarnas giat cari penyelam remaja Belanda

Basarnas giat cari penyelam remaja Belanda

ASET digunakan Basarnas untuk mengesan penyelam remaja yang dipercayai hanyut dibawa arus sehingga ke perairan Indonesia setelah hilang ketika selaman skuba di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Misi pencarian seorang lagi penyelam yang hilang ketika menjalani latihan selam skuba berhampiran Pulau Tokong Sanggol, di sini pada Rabu lalu masih giat dilakukan oleh Indonesia melalui Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) negara itu.

Nathan Renze Chester, 14, remaja berasal dari Belanda yang disahkan sudah meninggal dunia oleh bapanya yang juga salah seorang penyelam terlibat insiden itu, kini sudah hampir seminggu tidak dapat dikesan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, sebanyak tujuh aset dari pelbagai agensi digerakkan Basarnas dalam usaha mengesan Nathan.

Katanya, operasi mencari remaja tersebut yang memasuki hari ketiga di negara itu meliputi sektor pencarian di utara Pulau Bintan.

“Maklumat terkini diterima daripada pihak Indonesia usaha mencari mangsa masih giat dilakukan dan sebarang perkembangan dimaklumkan mereka kepada kita dengan segera,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Operasi Carilamat remaja itu di perairan Mersing ditamatkan pada pukul 1.30 petang, Sabtu lalu selepas penemuan dua penyelam iaitu bapanya, Adrian Peter Chester, 46 dan Alexia Alexandra Mollina, 18, di perairan Indonesia.

Adrian mengesahkan anaknya meninggal dunia akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan setelah beberapa hari hanyut di laut.

Terdahulu, empat penyelam itu hilang dibawa arus kuat ketika menyelam bagi mendapatkan lesen Advance Open Water dan tidak timbul semula ke permukaan selepas satu jam melakukan aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, jurulatih selam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat kira-kira 30 batu nautika dari lokasi terakhir oleh bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, pada pukul 8.15 pagi keesokan harinya.

Adrian dan Alexia pula ditemukan terapung oleh nelayan Indonesia yang sedang menangkap ikan, kira-kira pukul 1 pagi berhampiran Pulau Bintan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya