Lima daerah di NS terjejas banjir kilat, tanah runtuh

Lima daerah di NS terjejas banjir kilat, tanah runtuh

KEJADIAN tanah runtuh yang berlaku di Felda Titi, Jelebu petang tadi susulan hujan lebat yang berlaku di beberapa kawasan di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak lima daerah di negeri ini terjejas banjir kilat susulan hujan lebat sejak petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kolonel (PA), Mohd. Syukri Madnor berkata, lima daerah tersebut ialah Seremban, Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.

Jelasnya, selain kejadian banjir kilat, pihaknya turut dimaklumkan berlaku kejadian tanah runtuh di satu lokasi.

“Banjir kilat berlaku bermula pukul 5 petang tadi. Rata-rata di kebanyakan daerah, hujan mulai reda pada pukul 9.50 malam tadi kecuali di daerah Kuala Pilah hanya pada pukul 10.40 malam.

“Susulan hujan, terdapat sebuah jambatan di Jalan Utama Pusat Perikanan dan Felda Titi, Jelebu peringkat tiga telah runtuh akibat hakisan air sungai yang merupakan anak Sungai Teriang, jambatan hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd. Syukri, di daerah Jempol, banjir kilat menjejaskan tujuh buah keluarga di Rumah Murah Bahau.

“Terdapat dua buah rumah yang dimasuki air pada paras lutut manakala lima buah rumah lagi dimasuki air di bahagian dapur. Bagaimanapun, air mula surut sepenuhnya pada pukul 9 malam tadi.

“Di Daerah Tampin iaitu di Empangan Gemencheh, terdapat sebuah keluarga melibatkan lima mangsa terjejas susulan air naik di halaman rumah mereka berpunca dari air sungai yang melimpah namun keadaan terkawal.

“Penduduk di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru Air Kuning, Gemencheh juga turut terjejas,” katanya lagi.

Sementara itu, tambah beliau, di daerah Seremban, banjir kilat hanya melibatkan beberapa jalan berdekatan Mambau dan Sungai Rasah namun tidak menjejaskan rumah penduduk sekitar kawasan berkenaan.

“Di Kuala Pilah, sebanyak dua buah keluarga melibatkan 11 mangsa terjejas akibat banjir kilat di Rumah Mesra Rakyat di Kampung Rembang Panas, Senaling.

“Ketika pemantauan, terdapat dua buah rumah dinaiki air sehingga ke paras betis. Mangsa yang terlibat telah berpindah sementara ke rumah keluarga lain. Bagaimanapun, pada pukul 9.30 malam air telah surut sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya