Jangan pinggir suara penduduk - Utusan Malaysia

Jangan pinggir suara penduduk

PENDUDUK, wakil pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan melawat bahagian kawasan kilang bateri dekat Jalan Sukepi, Kampung Jenjarom di Kuala Langat, Selangor, Jumaat lalu yang didakwa bakal dibuka kembali selepas ditutup sejak 2019 akibat masalah pencemaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Penduduk mengharapkan penyelesaian terhadap isu pembukaan semula kilang bateri di sini, tidak meminggirkan keluhan mereka yang pernah mengalami masalah pencemaran logam plumbum sebelum ini.

Malah, pihak berkuasa digesa mendengar pandangan penduduk terutama apabila anak-anak mereka yang sekolahnya terletak dalam lingkungan kurang satu kilometer dari kilang terbabit dan dalam masa sama terdapat lima sekolah berada dalam jarak tersebut.

S. GANESAN

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Jenjarom, S. Ganesan berkata, perkara yang sama diharapkan tidak berulang kerana masalah tersebut pernah diusulkan dalam mesyuarat PIBG pada 2019.

“Dalam mesyuarat PIBG, ada yang mengadu termasuk guru tentang masalah daripada kilang apabila ada anak-anak dan penduduk yang sakit selain masalah bau, asap dan macam-macam.

“Kemudian kita buat aduan kepada ketua kampung, ahli Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Datok,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan memberitahu, dia masih ingat peristiwa kebakaran kilang berlaku pada 2017 yang mengakibatkan sisa dan serpihan premis tersebut berterbangan sehingga masuk ke dalam kawasan sebuah tadika berhampiran.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu berlaku pada tengah malam dan penduduk berhampiran mendengar beberapa siri bunyi dentuman letupan daripada kilang berkenaan sehingga menimbulkan rasa takut.

“Apabila hari siang, nampaklah sisa kebakaran dan serpihan bersepah dekat kawasan tidak jauh dari kilang sehingga masuk ke dalam kawasan sebuah tadika. Dekat serpihan itu juga ada yang api dan baranya masih menyala.

“Apabila ada budak-budak ke sekolah, mereka terpaksa bernafas dalam keadaan jerebu. Sejak itu, saya diberitahu budak selalu tak datang sekolah kerana tidak sihat. Tetapi bila kilang ditutup, sudah kurang dengar masalah macam itu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×