Pemikir pula gesa PSR dibatalkan  - Utusan Malaysia

Pemikir pula gesa PSR dibatalkan 

PEMIKIR  senada dengan pelbagai NGO berasaskan alam sekitar supaya projek PSR di selatan Pulau Pinang dibatalkan kerana bakal menyebabkan kemusnahan alam sekitar yang serius dan mengancam sumber rezeki nelayan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus didesak supaya membatalkan projek tambakan laut selatan (PSR) kerana memberi kesan serius dan negatif kepada sosioekonomi serta alam sekitar. 

Kali ini, desakan disuarakan Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) yang menyatakan sokongan penuh kepada gesaan dan bantahan dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), nelayan dan beberapa ahli Parlimen supaya projek itu dibatalkan. 

Pengerusinya, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, langkah-langkah yang dicadangkan oleh pemaju PSR sebagai pengganti untuk habitat semula jadi yang bakal dimusnahkan oleh projek itu tidak memadai. 

“Langkah yang dicadangkan juga tidak mempunyai keupayaan untuk menggantikan fungsi habitat semula jadi di kawasan berkenaan. 

“Tempat pendaratan penyu, kawasan pantai berlumpur akan hilang sepenuhnya, terumbu karang Pulau Rimau serta kawasan perikanan pula separuh daripadanya akan hilang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata, kerajaan negeri tetap meneruskan projek PSR itu dan tidak bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya projek tersebut dibatalkan. 

Beliau  juga dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak perlu memilih antara PSR dan alam sekitar serta nelayan kerana kemajuan teknologi serta kejuruteraan membolehkan projek itu dibangunkan dan  pada masa sama tetap memelihara alam sekitar dan masyarakat. 

Menurut Muhamad Farid, projek PSR bukan sahaja menjejaskan kekayaan biodiversiti di kawasan tersebut, malah sumber bekalan ikan di Pulau Pinang dan sumber pencarian nelayan pantai di utara Perak dan selatan Kedah turut terjejas. 

Beliau berkata, pengeluaran ikan dari projek ternakan dan akuakultur sahaja tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan makanan bagi populasi sekarang dan masa hadapan. 

“Satu pembangunan yang tidak peka kepada kesan negatif yang berkekalan ke atas biodiversiti dan keselamatan makanan bukanlah pembangunan yang patut dilaksanakan. 

“Kurang pemahaman tentang kepentingan pembangunan lestari akan membawa kepada kemusnahan sosioekonomi dan biodiversiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya