JAS nafi wujud 25 kilang haram di Perwaja Gurun - Utusan Malaysia

JAS nafi wujud 25 kilang haram di Perwaja Gurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menafikan kewujudan sebanyak 25 kilang haram yang beroperasi di tapak bekas kilang Perwaja di Gurun, dekat sini.

Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, siasatan dijalankan pihaknya juga mendapati kilang yang beroperasi di kawasan itu juga tidak mengeluar asap dan sungai dicemari asid.

Bagaimanapun, katanya, JAS mengeluarkan perintah larangan beroperasi bertarikh 5 Mei 2021 kepada syarikat Base Metals Sdn. Bhd. yang terdapat di bekas tapak kilang Perwaja itu.

“Perintah larangan tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 34AA Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2012 kerana menjalankan aktiviti yang ditetapkan tanpa mengemukakan kelulusan laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Pada 8 Februari lalu, seorang individu melalui akaun Facebook, Zamil Ibrahim mendakwa terdapat 25 syarikat yang beroperasi secara haram bagi mengitar semula bahan terlarang di bekas tapak Perwaja tersebut.

Selain mendatangkan pencemaran menerusi penghasilan asap dan aliran asid di sungai serta parit, Zamil juga mendakwa terdapat ratusan warga asing yang bekerja di situ tanpa dokumen sah.

Mengulas lanjut Norazizi berkata, sehingga kini JAS belum menerima laporan EIA daripada syarikat tersebut untuk diproses dan diluluskan.

“Adalah menjadi satu kesalahan untuk mana-mana premis beroperasi tanpa kelulusan laporan EIA mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, mereka boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000 sehari sekiranya terus beroperasi setelah menerima notis,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.